KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memastikan penghuni di semua 500 pusat jagaan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang berdaftar menjalani program vaksinasi secara mobil.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata perkara itu penting untuk dilaksanakan memandangkan kumpulan OKU dan warga emas adalah kelompok yang perlu diberi perhatian penting dalam program vaksinasi negara.
Beliau berkata, kementeriannya akan berusaha memastikan kumpulan itu terbabit dalam agenda vaksin negara meskipun mereka mempunyai kekurangan dan kekangan.
“Disebabkan itu kita mencadangkan pusat OKU ini dilakukan vaksinasi secara mobil supaya semuanya mampu bersama-sama kerajaan dalam usaha memerangi COVID-19.
“Pelaksanaan itu sudah bermula di Lembah Klang dan akan diperluaskan ke seluruh negara tidak lama lagi,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pertama bagi OKU penglihatan di Brickfields, hari ini.
Rina berkata, ketika ini kementerian sudah menghantar lebih 470,000 nama pemegang status OKU kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Kita mempunyai lebih 500,000 OKU berdaftar dan kita berharap mereka ini mendapatkan suntikan vaksin secepat mungkin,” katanya.
Ditanya mengenai jumlah OKU tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menyukarkan bantuan pemberian vaksin, Rina berkata, mereka sedang berusaha mencari semua golongan itu di seluruh negara dengan bantuan pelbagai pihak termasuk masyarakat setempat.
“Kita juga ada sukarelawan yang akan mencari dan mendaftarkan mereka untuk mendapatkan suntikan kerana kita tidak mahu mereka ketinggalan dan menjejaskan usaha sedang dilakukan kerajaan.
“Warga emas dan individu terlantar juga dikira sebagai OKU yang perlu didaftar untuk mendapatkan suntikan ini,” katanya.
Sementara itu, OKU penglihatan, Azrin Che Ibrahim, 28, berterima kasih dengan kerajaan kerana mempercepatkan proses untuknya dan isteri mendapatkan suntikan vaksin.
“Apabila kerajaan minta kami mendaftar melalui MySejahtera beberapa bulan lalu, saya segera berbuat demikian, tetapi apabila PPV khas dibuka untuk OKU penglihatan, saya amat bersyukur tersenarai, malah isteri sebagai penjaga juga tersenarai,” katanya.
Seorang lagi OKU penglihatan, Mai Lin, 29, turut menasihati semua OKU mengambil peluang diberikan kerajaan untuk mendapatkan vaksin.
“Kerajaan memberi keutamaan kepada OKU, malah mewujudkan PPV khas kepada kami, jadi saya berharap semua rakan hadir mengambil vaksin ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian