Penginapan kotor, tak sesuai, majikan 156 pendatang asing ditahan dikenakan tindakan

Pendatang tanpa dokumen yang ditahan Ahad lalu hidup dalam keadaan yang amat kotor dan tidak sesuai.

PETALING JAYA: Jabatan Tenaga Kerja Semananjung Malaysia (JTKSM) akan mengambil tindakan terhadap majikan 156 pendatang asing tanpa dokumen sah yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen pada Ahad kerana gagal menyediakan penginapan sewajarnya.

Kuarters pekerja di petempatan haram di Cyberjaya itu digambarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud sebagai “sangat kotor dan tidak sesuai” susulan operasi bersepadu pelbagai agensi berkenaan, selain boleh mengakibatkan penularan wabak Covid-19.

Antara lain Khairul berkata, penginapan pekerja berkenaan tidak mempunyai sistem saliran dan kumbahan, malah air dari tandas turut membajiri tempat tinggal mereka.

“Kami akan mengambil tindakan sejajar dengan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja),” kata jurucakap Jabatan Tenaga Kerja kepada FMT.

“Kami masih menanti kertas siasatan daripada Jabatan Imigresen kerana mereka yang mengetuai operasi berkenaan.”

Jurucakap itu berkata, majikan berkenaan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan di bawah Akta 446, atau dikenakan hukuman lebih berat mengikut Ordinan Darurat (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja).

Ordinan yang diwartakan pada 17 Feb itu membolehkan Kementerian Sumber Manusia mengenakan denda terhadap majikan atau pemilik penginapan sehingga RM200,000, hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika gagal menyediakan perumahan sesuai untuk pekerja.

Dalam kenyataan bulan lalu kementerian itu berkata, 45 majikan didakwa di mahkamah dan didenda sejumlah RM332,000 kerana melanggar Akta 466 sejak ia dipinda tahun lalu.

Selanjutnya, kompaun berjumlah RM1,806,500 turut dikenakan terhadap 244 majikan.

Daripada 18,749 majikan dan 105,951 penginapan pekerja yang diperiksa oleh JTKSM dari 1 Feb hingga 27 Mei, hanya 34% didapati mematuhi Akta 446.

Akta itu antara lain memperuntukkan ruang minimum bagi penginapan pekerja, kemudahan asas, selain tahap keselamatan dan kebersihan tertentu.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.