Penjawat awam jangan ingkar PKP

[email protected]

KUALA LUMPUR: Semua penjawat awam diingatkan sentiasa mematuhi arahan yang dikuatkuasakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula esok, sepanjang musim Aidilfitri kali ini.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata penjawat awam tanpa mengira jabatan atau agensi bertugas perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk larangan melakukan perjalanan rentas negeri atau daerah bagi menyambut perayaan itu.

“Arahan kerajaan supaya tidak melakukan amalan ziarah dan merentas negeri serta daerah adalah bagi mengelakkan kes COVID-19 daripada terus meningkat.

“Penjawat awam adalah kumpulan yang melaksanakan setiap peraturan yang dikuatkuasakan kerajaan dan sewajarnya menjadi contoh teladan kepada masyarakat.

“Kita perlu bersabar pada Aidilfitri ini jika ingin melihat kes jangkitan dapat dikurangkan kerana pengorbanan hari ini adalah untuk keselamatan hari esok,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula esok yang antara lain melarang rentas negeri dan daerah bagi menyambur Aidilfitri.

Adnan berkata, penjawat awam tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang jika didapati bersalah ingkar SOP PKP.

“Sama seperti rakyat biasa, jika penjawat awam melanggar peraturan, mereka akan tetap dikenakan hukuman.

“Nasihat daripada CUEPACS ini bukanlah bertujuan menakut-nakutkan. Jika kita tidak bersedia untuk dikenakan tindakan, kita hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, Adnan turut meminta seluruh masyarakat memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi arahan kerajaan bagi mencegah penularan COVID-19.

“Sekurang-kurangnya kita masih boleh menyambut Aidilfitri walaupun secara bersederhana. Rakan penjawat awam yang bertugas di barisan hadapan seperti petugas kesihatan, polis, tentera dan bomba masih lagi terpaksa bertugas dan tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

“Mereka berkorban demi memastikan keselamatan rakyat dan sebagai individu yang bertanggungjawab, kita sewajarnya mematuhi SOP yang ditetapkan semasa PKP dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman mengingatkan semua penjawat awam supaya menjaga nama baik perkhidmatan awam dan tidak melakukan aktiviti yang dilarang sepanjang tempoh PKP.

Katanya, penjawat awam yang disabitkan kesalahan melanggar PKP boleh dikenakan tindakan tata tertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.