Penutupan semua industri tidak praktikal – Presma

[email protected]

Kuala Lumpur: “Saya rasa cadangan ini tidak praktikal kerana kita semua sudah hidup lebih setahun bersama Covid-19 dengan norma baharu,” kata Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan.

Beliau berkata demikian mengulas saranan segelintir pihak supaya kerajaan mengetatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuklah menutup keseluruhan industri.

Menurutnya, perkara paling utama adalah peranan dan komitmen semua pihak dalam mematuhi SOP untuk melandaikan kes jangkitan pandemik itu bukannya penutupan semua industri.

Katanya, semua pihak dalam fasa untuk ‘survive’ dan mereka yang membuka operasi perniagaan kini bukan kerana pentingkan duit tetapi lebih kepada mencari kewangan untuk bertahan.

“Jika kita lihat keadaan peniaga yang sedia ada ini pun sudah terlalu terkesan, banyak komitmen perlu mereka bayar, bayangkan kalau ‘total lockdown’ dilaksanakan.

“Malaysia masih terkawal dan kita tidak seteruk negara lain seperti India. Dengan adanya vaksin, kita berharap semuanya akan pulih balik,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan bahawa, pelaksanaan ‘total lockdown’ adalah sebagai langkah terakhir.

“Saya juga percaya semua rakyat Malaysia masih boleh menjaga diri dan mematuhi SOP. Malah, di restoran boleh dikatakan 99 peratus pelanggan yang datang patuh arahan ditetapkan.

“Mereka juga dapat memberikan kerjasama dengan baik, berbanding sebelum ini pekerja restoran kena selalu mengingatkan pelanggan. Namun, kini semua sudah tahu peranan masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Kelab Belia Muslim Malaysia mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan penutupan sepenuhnya semua industri dan melaksanakan PKP ketat seluruh negara dalam tempoh dua minggu bagi memastikan usaha memutuskan rantaian Covid-19 lebih berkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.