Penyokong Perak naik angin

firdaushashim[email protected]

Kuala Lumpur: Majoriti kelab penyokong bola sepak Perak FC (PFC) menuntut perubahan segera terutamanya di pihak pengurusan bagi menyelamatkan pasukan itu daripada menjadi ‘mangsa’ permainan politik pihak tertentu.

Wakil kelab penyokong Dia Hard Fans Perak, Mohd Asri Muhammad, berkata, penyokong skuad The Bos Gaurus sudah muak dengan pengurusan yang tidak profesional dalam mentadbir urus PFC.

“Apa yang saya lihat dan saya tahu, dah banyak rungutan mengenai isu gaji pemain. Contohnya, bila kita berkerja orang tak bayar gaji, apa perasaan kita? Paling pelik macam mana PFC boleh beli Nana Poku ketika gaji pemain tak bayar.

”Seolah macam ‘tokey’ kita cakap tak ada duit nak bayar pekerja, tapi dalam masa sama boleh pula pakai kereta baharu. Sebenarnya bukan pemain yang nak kena tukar tetapi pengurusan yang kena tukar. Saya selalu cakap, kalau nak pasukan kita bagus, pengurusan kenalah bagus dulu kemudian barulah pun akan jadi hebat dan bagus,” katanya yang mengakui kecewa.

Nada sama turut diluahkan Pengerusi Perak Giant Flag, Ruzaimi Abu apabila mengakui malu dengan pengurusan PFC yang tidak henti-henti terpalit dengan pelbagai masalah terutamanya isu gaji pemain.

“Satunya perubahan drastik perlu di pihak pengurusan. Cuma kita tak tahu apa keadaan sebenarnya, mungkin ada masalah gaji dan sebagainya. Malah, komitmen pemain atas padang pun kita boleh nampak longgar.

“Penyokong ini banyak sangat disembunyikan macam-macam, apa masalah kita tak tahu tapi kita boleh lihat permainan pasukan bagaimana dan komitmen pemain. Penswastaan pun tak nampak macam samar, patutnya perjelaskan betul-betul dan bergerak sendiri tanpa harapkan dana kerajaan negeri lagi. Kita kena bergerak profesional dan ubah segera,” kata Ruzaimi.

Semalam, Arena Metro melaporkan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin mahu pengurusan PFC melakukan perubahan segera bagi menyelamatkan maruah pasukan yang ketika ini berada di zon bahaya penyikiran ke Liga Perdana musim depan.

Malah, difahamkan terdapat spekulasi kemungkinan pemain PFC mahu mengangkat kaki meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan pemain ketika ini selepas tidak berpuas hati dengan isu tunggakan gaji ketika ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.