Perdana Menteri ucap syabas, tahniah pelajar SPM 2020

[email protected]

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau mengambil maklum bahawa keputusan SPM tahun 2020 adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.

“Saya doakan agar anda semua memperoleh keputusan yang cemerlang. Bagaimanapun, sekiranya keputusan yang diterima bukanlah seperti diharapkan, jangan sesekali berputus asa.

“Saya berbangga kerana setiap daripada anda adalah individu yang hebat memandangkan peperiksaan kali ini amat jauh berbeza cabarannya berbanding tahun-tahun sudah dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pelajar yang mengambil SPM 2020 diuji dengan cabaran yang getir namun berbekalkan semangat dan keazaman tinggi dengan sokongan semua pihak, cabaran itu berjaya diharungi.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ibu bapa dan guru yang berhempas-pulas berusaha bagi membantu pelajar mengharungi peperiksaan dalam masa amat mencabar ini.

“Usaha berlipat-ganda ibu bapa dan guru sudah pun dilakukan menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang penuh mencabar dalam suasana norma baharu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sudah pasti harapan tinggi diletakkan agar semua usaha itu membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Namun, katanya kepada anak semua, jika keputusan yang diperoleh hari ini tidak seperti yang diharapkan, ia bukanlah penamat.

“Perjalanan dan perjuangan hidup anda baru bermula. Banyak lagi ilmu serta bidang belum diteroka dan juga pengalaman yang belum ditempuh.

“Jadikan keputusan yang diterima hari ini sebagai penyuntik semangat untuk anda terus berusaha bagi memastikan kehidupan serta masa depan terjamin.

“Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan SPM hari ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.