Permohonan Najib untuk dapat dokumen bank keluarga Zeti, Jho Low ‘remeh’, kata pendakwaan

Najib Razak yang dalam perbicaraan, bukannya Zeti Akhtar Aziz, kata pihak pendakwaan kes rasuah 1MDB.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB Najib Razak beritahu Mahkamah Tinggi permohonan beliau untuk mendapatkan dokumen berkaitan dengan syarikat dikatakan dikawal oleh keluarga Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan dikehendaki Low Taek Jho, serta data komunikasi dari Goldman Sachs adalah percubaan remeh.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram, berkata dokumen yang dicari oleh Najib – penyata bank milik Low, dan syarikat-syarikat dikatakan milik keluarga Zeti – tidak berkaitan dengan empat tuduhan salah guna kuasa yang dihadapinya.

Najib juga dituduh menerima RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBanknya antara 2011 dan 2014.

“Tertuduh (Najib) yang dibicarakan dan bukan Zeti. Apa sahaja yang diterima keluarga (dana yang dikatakan dari Low) tidak relevan dengan tuduhan itu,” kata Sri Ram kepada mahkamah ketika membantah permohonan Najib.

Beliau berkata, pasukan peguam Najib berusaha untuk membuat “serangan kolateral” terhadap kredibiliti Zeti sebagai saksi, yang akan memberi keterangan nanti.

“Terserah kepada mahkamah untuk menilai dan menimbang bukti pada penghujung kes pihak pendakwaan nanti,” katanya.

Mengenai percubaan Najib untuk mendapatkan rekod telefon bimbit bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, Sri Ram berkata pihak pendakwaan tidak mempunyai dokumen berkenaan.

Beliau menolak hujah Najib bahawa pengakuan bersalah Leissner di AS bagi tuduhan merasuah “pegawai-pegawai 1MDB” mempunyai kaitan dengan tuduhan di sini.

“Sama ada Leissner atau Goldman Sachs merasuah saksi tidak relevan.

“Pihak pembelaan berpendapat ada konspirasi antara Low dan yang lain di 1MDB tetapi tertuduh juga mendapat manfaat (dari dana),” katanya.

Perlu serah dokumen

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, berkata pihak pendakwaan perlu menyerahkan dokumen yang diminta kerana pihak pembelaan berhak memeriksa balas Zeti.

“Saksi adalah seorang bekas gabenor (Bank Negara) dan keluarganya menerima duit daripada Low, yang demikian (ini membuatkan) kredibilitinya satu isu,” katanya.

Shafee berpendapat kakitangan pengurusan 1MDB tidak melaksanakan tugas dengan sebaiknya dalam melindungi dana, manakala Bank Negara dan AmBank gagal beritahu Najib agar beri perhatian pada RM2.28 bilion dalam akaunnya.

“Fakta bahawa keluarga Zeti menerima wang daripada Low menunjukkan beliau terkompromi dan tidak beritahu (Najib) seperti yang sepatutnya beliau lakukan,” katanya.

Mengenai permohonan untuk mendapatkan rekod telefon Leissner, Shafee berkata pihak pembelaan mahu memastikan sekiranya ada saksi berpotensi menerima sogokan daripada warga Jerman itu.

“Kami melantik peguam di AS dan kami berdepan halangan sama daripada kerajaan di sana,” katanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 12 Julai bagi memutuskan permohonan itu.

Awal hari ini, Sri Ram beritahu mahkamah pihak pendakwaan mungkin akan memanggil bekas saksi, Amhari Efendi Nazaruddin, untuk mengemukakan beberapa rakaman audio.

“Rakaman itu perbualan antara tertuduh (Najib) dan pihak ketiga, termasuk ahli keluarga diraja Abu Dhabi,” katanya.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.