Peruntukan terhad jejas operasi ATM

[email protected]

Dalam keadaan negara berperang melawan pandemik, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk memperkukuhkan kawalan sempadan melalui Ops Benteng.

Namun, baru-baru ini negara dikejutkan isu pencerobohan 16 pesawat China. Susulan itu, Kementerian Luar menyatakan nota bantahan akan dikeluarkan berkenaan pencerobohan ini.

Insiden ini bukan saja perlu ditangani segera, tetapi memerlukan jalan penyelesaian terbaik. Dalam menghadapi ancaman seperti ini, negara sering dilihat seolah-olah bertindak seperti fire-fighting – tindakan dilakukan hanya selepas sesuatu insiden berlaku.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara sedaya upaya melaksanakan tanggungjawabnya walaupun berdepan masalah kekurangan peruntukan.

Peruntukan terhad memberi kesan besar terhadap pelaksanaan operasi. Pengoperasian ATM kini dilihat lebih berpandukan peruntukan diterima.

Jika trend pemberian peruntukan ini berterusan, ia akan mencorak pengoperasian ATM pada masa hadapan atau dengan kata lain, ATM beroperasi bukan lagi berpandukan tanggungjawab ditetapkan, tetapi lebih kepada jumlah peruntukan diterima.

Jika dilihat peruntukan Kementerian Pertahanan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, jelas menunjukkan penurunan. Peruntukan diberi semakin mengecil dengan 2018 paling rendah.

Peningkatan peruntukan pada 2019 pula dilihat bukan bersifat untuk penambahbaikan sistem pertahanan negara, tetapi lebih kepada mengekang pencerobohan sempadan negara berpunca kemasukan pendatang asing tanpa izin dan kes penyeludupan.

Secara umum, peruntukan diperoleh selama ini sangat kecil dibandingkan peruntukan pertahanan negara lain di rantau Asia.

Timbul persoalan bagaimana ATM dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab semakin besar, di mana bukan hanya bertanggungjawab ke atas keselamatan negara, tetapi juga kepentingan negara.

Dengan beban tugas dan tanggungjawab lebih besar di sebalik peruntukan semakin mengecil, ia akan membebankan ATM.

Merujuk tatacara pengurusan aset, setiap aset mempunyai kitaran hayat penggunaan dan pengoperasian ditetapkan. Namun apa yang berlaku, rata-rata aset ketenteraan dimiliki ATM kini melebihi usia ekonomi penggunaan.

ATM mengemukakan permohonan penggantian aset, namun sehingga kini belum dapat direalisasikan sepenuhnya.

Mengimbangi situasi ini, ATM melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memastikan aset dimiliki terus beroperasi walaupun melebihi tempoh ekonomi untuk digunakan.

Program pemanjangan jangka hayat aset dan pengurusan keusangan aset antara contoh inisiatif dilaksanakan dan ia hanya usaha untuk membolehkan aset terus beroperasi di tahap minimum.

Namun, ia bukan kaedah terbaik kerana pada suatu ketika nanti prestasi aset ini kembali merosot dan berkemungkinan perlu dilupuskan.

Penggantian aset baharu adalah jalan terbaik bagi menentukan kedaulatan dan kepentingan negara dikawal dan dilindungi.

Oleh itu, sudah tiba masanya negara melihat secara serius dan holistik dalam memperuntukkan kewangan kepada Kementerian Pertahanan, bagi memastikan ATM dapat menggalas tugas dan tanggungjawab besar dalam menjaga keselamatan, di samping menjaga kepentingan negara.

Penulis adalah Profesor Fakulti Pengajian Dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.