PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan pesakit COVID-19 berusia bawah 60 tahun didapati menunjukkan gejala lebih serius akibat jangkitan virus itu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata dapatan itu diperoleh melalui pemerhatian klinikal dibuat kementerian.
“Pemerhatian klinikal mendapati terdapat perubahan dari segi profil pesakit iaitu pesakit lingkungan usia kurang 60 tahun menunjukkan gejala lebih serius.
“Pesakit juga kurang menunjukkan tindak balas terhadap rawatan berbanding pada awal pandemik menular,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 69.1 peratus daripada jumlah kematian akibat COVID-19 di Malaysia membabitkan warga emas.
Pada Julai lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata pihaknya bimbang jika orang ramai mula mengabaikan kepentingan melindungi warga emas daripada dijangkiti COVID-19.
Sementara itu, pada Mac tahun lalu, Kementerian Kesihatan melaporkan kadar kematian disebabkan COVID-19 dalam kalangan penghuni rumah perlindungan warga emas didapati agak tinggi berbanding kadar kematian di peringkat kebangsaan.
Dr Adham berkata, sehingga awal bulan ini, kadar pesakit kategori empat dan lima adalah sebanyak 35.4 peratus berbanding 25.2 pada bulan lalu dan 17.2 peratus pada Mac.
Beliau berkata, pada Februari lalu, kadar pesakit kategori sama adalah sebanyak 26.2 peratus dan 6.7 peratus pada Januari lalu.
Katanya, data kemasukan pesakit COVID-19 ke ICU mengikut kategori semasa, menunjukkan peratusan tinggi dalam kalangan pesakit kategori empat dan lima iaitu 86.5 peratus pada Januari tahun ini ke 94.2 peratus hingga awal bulan ini.
“Ini menunjukkan peningkatan pesakit tenat kategori empat dan lima yang datang lewat untuk mendapatkan rawatan di hospital.
“Faktor penyumbang kepada kelewatan ini berkemungkinan berkaitan dengan varian virus baharu melanda dunia ketika ini yang dipercayai lebih agresif dengan manifestasi klinikal serta kesan komplikasi juga lebih serius. Namun kita sedang kaji perkara ini,” katanya.
Justeru, katanya bagi menangani masalah itu, kementerian melaksanakan beberapa strategi melalui Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai imuniti kelompok.
Katanya, orang ramai juga digalakkan menjalani ujian saringan COVID-19 seawal mungkin apabila bergejala atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19 supaya diagnosis dan rawatan awal dapat diberikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian