PIKAS harus diperluaskan kepada 17 sektor penting – MEF

KUALA LUMPUR: Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) harus mengutamakan sektor industri kritikal yang menghadapi risiko tinggi dijangkiti COVID-19 dan memperluaskannya kepada 17 sektor penting, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata syarikat yang mempunyai jumlah tenaga kerja yang ramai tinggal di penginapan berpusat seperti di sektor pembinaan harus diberi keutamaan dan dimasukkan dalam program itu.

“Keadaan tempat tinggal dan persekitaran tempat kerja industri ini adalah tidak kondusif dan terdedah kepada penyebaran COVID-19 kerana tiada penjarakan fizikal.

“Kami menyokong pelaksanaan PIKAS untuk beberapa pengeluar tertentu, keutamaan harus diberikan kepada mereka yang memerlukan vaksin sekarang untuk mencegah jangkitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, majikan daripada sektor ekonomi lain juga ingin menyertai PIKAS, ia akan melancarkan program vaksinasi di kilang-kilang dan lokasi kawasan perindustrian yang akan bermula 16 Jun ini.

Sehubungan itu, pelaksanaan pantas PIKAS sangat penting, pada masa ini, katanya.

Pekerja di subsektor pembuatan termasuk elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, besi dan keluli, peralatan perubatan, peralatan pelindung diri, minyak dan gas, dan produk getah termasuk subsektor pembuatan sarung tangan perubatan buat masa ini diutamakan untuk program vaksinasi di bawah PIKAS.

“Difahamkan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (​MITI) setakat ini menerima permohonan kira-kira 500 syarikat dengan jumlah 106,591 pekerja untuk menyertai program itu secara sukarela dalam PIKAS.

“Berdasarkan struktur yuran yang disediakan oleh MITI, kos untuk vaksinasi yang ditanggung oleh majikan adalah sekitar RM45 untuk setiap pekerja. Jumlah berkenaan wajar dan munasabah kerana kerajaan akan menanggung kos vaksin,” katanya.

Syed Hussain berkata majikan tidak dibenarkan mengenakan kos kepada pekerja.

Bagaimanapun, MEF berpendapat kerajaan harus mempertimbangkan untuk memberikan rebat cukai atau pengecualian cukai kepada syarikat terhadap kos yang perlu ditanggung selepas penyertaan dalam program sukarela itu.

“MEF juga telah memohon supaya PIKAS disediakan untuk ahli-ahlinya dan sedang menunggu kelulusan daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV),” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.