Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.
Categories
News

PKP penuh: Kerajaan lebih jaga hati tauke besar banding rakyat marhain, kata Pemuda Umno

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, menggesa kerajaan menilai semula keputusan diambil untuk tidak mengenakan PKP secara sepenuhnya sebelum keadaan menjadi lebih parah.

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan tidak melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh kerana terlalu menjaga hati tauke besar dan kapitalis yang berorientasi memaksimumkan keuntungan berbanding rakyat marhain, kata Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

“Data dan sains juga menunjukkan kilang milik tauke dan MNC (syarikat multinasional) penyumbang terbesar hingga 50% penularan wabak Covid-19, tapi terus dibenar beroperasi sedangkan peniaga kecil, penjaja, pengusaha kantin, pekerja gaji hari dan lain-lain berhadapan situasi ‘buka-tutup’ tiada penghujung,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, tiada jaminan penularan Covid-19 dapat dikekang sekiranya kilang tetap beroperasi walaupun PKP diperketatkan kerana pekerja bukan tinggal dalam kompaun kilang.

“Mereka tinggal dalam komuniti, berbeli-belah di pasar raya sama dengan masyarakat. Kerajaan di persepsi rakyat hari ini terlalu nak jaga hati tauke-tauke besar dan para kapitalis yang berorientasikan memaksimumkan keuntungan berbanding rakyat marhain,” katanya.

Semalam, kerajaan bersetuju mengetatkan pelaksanaaan PKP 3.0 dengan mengetatkan sektor ekonomi dan sosial bagi membendung penularan Covid-19.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Perincian lanjut mengenai sekatan tambahan itu akan diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Asyraf berkata, dengan peningkatan kes covid-19 yang kian parah, rakyat lebih rela “total lockdown” untuk tempoh 14 hingga 21 hari berbanding berdepan situasi PKP berulang kali bagaikan tiada kesudahan.

Katanya, tiada pengumuman sebarang bentuk bantuan khas, i-Sinar 2.0, i-Lestari atau lanjutan moratorium di kala rakyat dihimpit kesulitan dan mulai terdesak akibat PKP separuh masak dan “buka-tutup” berlanjutan.

“Suasana krisis pandemik yang luar biasa hari ini tak boleh nak penuhi semua perkara dalam satu masa. Utamakan yang perlu diutamakan. Nyawa lebih mustahak daripada ekonomi. Selamat nyawa selamat ekonomi.

“Lebih baik kita utamakan tangani Covid-19 sehingga ke tahap sangat minimum daripada berterusan mengenakan perintah PKP ‘separuh masak’ yang lebih menyukarkan usaha memulihkan ekonomi untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda Umno sekali lagi meminta kerajaan menilai semula keputusan diambil untuk tidak mengenakan PKP secara sepenuhnya sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version