Warning: fopen(/tmp/alcjlouHTxWd-vF7QQk.tmp): failed to open stream: Disk quota exceeded in /home/neotizen/public_html/wp-admin/includes/class-wp-filesystem-ftpext.php on line 139

Warning: unlink(/tmp/alcjlouHTxWd-vF7QQk.tmp): No such file or directory in /home/neotizen/public_html/wp-admin/includes/class-wp-filesystem-ftpext.php on line 142

PKP penuh perlu disertai sokongan mental, kewangan

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh selama 14 hari bermula Selasa ini ini diyakini mampu mengurangkan jumlah kes harian baharu COVID-19 selepas mencatatkan lebih 9,000 kes hari ini.

Bagaimanapun, kalangan pakar kesihatan awam mengingatkan bahawa sekatan itu perlu disertakan dengan sokongan mental dan bantuan kewangan kepada rakyat yang akan terjejas, akibat kekangan kewangan susulan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial.

Pakar Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Aidalina Mahmud, berkata ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, kadar kontak antara individu amat kecil, justeru dalam satu sela masa tertentu, bilangan kes akan berkurangan.

Bagaimanapun katanya, jumlah kes kemungkinan akan kekal pada tahap sama atau lebih dalam masa beberapa hari selepas itu berikutan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 secara besar-besaran di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Jangan fikir apabila PKP penuh bermula 1 Jun ini, kes akan terus turun pada 3 Jun. Namun selepas satu atau dua minggu PKP penuh ini, yang mana dalam tempoh itu kadar kontak adalah sangat rendah, maka dianggarkan jumlah kes baharu akan berkurang selepas itu,” katanya.

Ketika mengumumkan mengenai sekatan pergerakan penuh bagi sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama itu semalam, Pejabat Perdana Menteri berkata, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes semalam dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi) UPM, Dr Sri Ganesh Muthiah, berkata pelaksanaan sekatan pergerakan penuh membolehkan petugas barisan hadapan mewujudkan tetingkap masa (window period), yang harus digunakan untuk pemberian vaksin kepada seramai mungkin rakyat.

“Disebabkan rakyat tidak boleh membuat pergerakan seperti dulu, kerajaan juga harus mendirikan lebih banyak pusat vaksin untuk mengurangkan rakyat berkumpul secara ramai di satu-satu pusat tertentu. Selain itu, pengesanan kes harus dipertingkat melalui pengesanan kontak dan aktiviti saringan secara besar-besaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dr Sri Ganesh turut menyarankan KKM menggunakan indikator kadar kes positif di setiap negeri ketika tempoh sekatan pergerakan penuh itu, berbanding jumlah kes bagi memberi gambaran lebih tepat mengenai penularan virus itu.

“Daripada perspektif epidemiologi, peningkatan kes bukan seharusnya hanya bermaksud lebih banyak kes positif. Ia juga mencerminkan jumlah ujian saringan yang tinggi.

“Justeru, indikator yang tepat sebenarnya adalah kadar kes positif yang mengambil kira semua kes positif dibahagi dengan jumlah saringan yang dilakukan dalam satu hari tertentu,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan, pelaksanaan sekatan pergerakan penuh itu mesti disertakan dengan pemberian bantuan moratorium bayaran pinjaman daripada institusi kewangan kepada semua peminjam.

“PKP penuh bukan saja akan memberi impak kepada sektor ekonomi dan sosial tetapi juga kepada kesihatan mental akibat daripada kekangan kewangan,” katanya.

Bagi Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, walaupun PKP penuh adalah cara terbaik untuk menurunkan kes, kerajaan dan badan berkaitan perlu mempertimbangkan bantuan kewangan, sosial dan sokongan mental bagi menangani masalah yang akan dihadapi rakyat.

Katanya, golongan pekerja yang bergaji harian dan peniagan kecil pastinya akan terkesan, selain petugas barisan hadapan yang berdepan kesukaran berikutan tidak cukup kakitangan untuk mengendalikan pesakit COVID-19 yang ramai.

“Arahan umum untuk semua rakyat patut diikuti, namun malangnya cara tiap keluarga menghadapinya berbeza, tidak kurang juga berlakunya kes bunuh diri.

“Justeru, sokongan mental dan emosi seperti hotline, latihan kepada kakitangan di kawasan miskin bandar, bantuan data untuk pendidikan dalam talian dan pemantauan penduduk harus dilakukan seiring dengan PKP penuh ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.