PKP tetapi lori tanah tetap jalan

[email protected]

KUALA SELANGOR: Ketika di seluruh negara kini lengang susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, situasi sebaliknya berlaku di Taman Permai dan Taman Pekerti, Jeram di sini, apabila puluhan lori tanah tetap keluar dan masuk mengangkut tanah dari kuari di Bukit Cherakah.

Kebanyakan pemandu lori juga seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya dengan memandu secara berbahaya selain dipercayai membawa lebih muatan serta tidak menggunakan kanvas menutup muatan.

Lebih memeritkan, keadaan laluan di dua taman perumahan didiami kira-kira 800 penduduk berdebu apabila cuaca panas serta berlumpur apabila hujan.

Penduduk Taman Permai, Mohd Fauzi Jaafar, 45, berkata situasi itu berlaku selepas aktiviti mengangkut tanah dijalankan melalui laluan taman perumahan terbabit sejak 10 tahun lalu.

Beliau mendakwa, walaupun PKP dikuatkuasakan 1 Jun lalu, kerja mengangkut tanah tetap beroperasi seperti biasa sehingga menimbulkan tanda tanya penduduk berhubung kebenaran menjalankan operasi.

Katanya, penduduk juga terpaksa menghirup udara berhabuk ketika cuaca panas yang secara tidak langsung membahayakan kesihatan, khususnya warga emas dan kanak-kanak.

“Jarak antara kuari dengan dua taman perumahan kami kira-kira tiga kilometer. Terdapat kira-kira 80 lori keluar dan masuk melalui laluan ini dan mereka memulakan operasi seawal jam 4.30 pagi setiap hari.

“Apa yang membimbangkan, ada penduduk memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan lori sehingga mendatangkan kecederaan kepada pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagi penduduk Taman Pekerti, Muhamad Zawavi Sairen, 43, berharap pihak bertanggungjawab membantu menyelesaikan masalah itu dengan melakukan pemantauan berterusan terhadap kenderaan berat terbabit.

Dakwanya, penduduk pernah dimarahi oleh pemandu lori kerana ditegur membawa kenderaan secara berbahaya.

“Kami tidak mahu masalah ini berterusan hingga menyusahkan penduduk untuk menggunakan laluan itu. Perkara paling penting ialah keselamatan dan kesihatan penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Faizal Abdul Raji ketika dihubungi berkata pihaknya mengambil maklum aduan orang awam mengenai keadaan yang berlaku.

“Kita akan membuat penjelasan menerusi kenyataan media dalam waktu terdekat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.