KUALA LUMPUR: Kerjaaan memutuskan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Seri Kemunting, Kuantan dan Kampung Paya Teh, Jerantut, Pahang mengikut tarikh dijadualkan, esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sepanjang PKPD dilaksanakan di Seri Kemunting, Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan 392 ujian saringan dan 40 daripadanya disahkan positif COVID-19.
“Di Kampung Paya Teh pula, sebanyak 270 ujian saringan dilakukan KKM dan 140 daripadanya disahkan positif COVID-19.
“KKM mengesahkan berlaku penurunan kes, manakala semua kes positif sudah diasingkan dan menerima rawatan di kedua-dua lokaliti terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKPD di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah yang sepatutnya tamat esok untuk tempoh dua minggu lagi.
Beliau berkata, sepanjang tempoh PKPD, KKM melakukan 336 ujian saringan dan 53 daripadanya disahkan positif COVID-19.
“Pada masa sama, KKM mendapati kes masih lagi menular di lokaliti terbabit dan terdapat juga sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Sungai Langgas bermula 31 Mei hingga 13 Jun ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian