PKPD di 1 lokaliti Pahang, beberapa di Kedah

PKPD dilaksanakan di lokaliti terbabit susulan peningkatan ketara kes positif Covid-19 dalam tempoh seminggu, kata Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di satu lokaliti di Raub, Pahang, serta beberapa lokaliti dalam Bandar Darulaman, dan Lubuk Kawah di Jitra, Kedah, mulai Selasa.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di lokaliti berkenaan akan berlangsung hingga 31 Mei.

Beliau berkata, sebanyak lapan kes positif Covid-19 direkodkan di Ulu Lepar, Mukim Gali, Raub.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan ketara kes positif Covid-19 dalam tempoh seminggu serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Lokaliti yang terlibat dalam Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra adalah seperti berikut:

  • Taman Mahsuri 2A
  • Taman Mahsuri 2B
  • Taman Mahsuri 2C
  • Pusat Perniagaan Bandar Barat
  • Kampung Paya Kerchut
  • Taman Tunku Anum
  • Kampung Lubuk Kawah
  • Taman Desa Tanjung
  • Taman Desa Darul Aman Mukim Naga

“KKM telah melakukan 207 ujian saringan di semua lokaliti tersebut dan 94 daripadanya disahkan positif Covid-19,” kata Ismail.

Dalam pada itu, Ismail mengumumkan PKPD di Windmills Condominium, Genting View Resorts dan Apartment Mawar, Genting Highlands, Bentong, Pahang, ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan.

Sebelum ini, PKPD di semua lokaliti tersebut dijadualkan tamat pada 23 Mei

“KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan,” kata Ismail.

Dalam perkembangan lain, Ismail melaporkan 639 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

“Daripada jumlah itu, seramai 586 individu dikompaun manakala 53 lagi direman,” kata beliau.

Antara kesalahan terbabit adalah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (152), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (109), tidak memakai pelitup muka (103), tiada penjarakan fizikal (100), aktiviti pusat hiburan (25), aktiviti perjudian (12), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (11) dan lain-lain (127).

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.