PKPD di beberapa kawasan di Sabah, Kuala Lumpur

[email protected]

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Sabah dan Kuala Lumpur, bermula 10 Jun hingga 23 Jun ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD Kampung Kebayau, Kota Belud, Sabah dilaksanakan selepas mengambil kira laporan situasi kawasan berkenaan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini, sebanyak 11 kes positif direkodkan di Kampung Kebayau selepas 16 individu disaring oleh KKM, dengan kadar positiviti 68.75 peratus.

Katanya, KKM juga mendapati kes masih menular dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti terbabit.

“PKPD akan dilaksanakan di Kampung Batu Layar, Pulau Banggi, Kudat, selepas KKM melakukan 11 saringan dan tujuh daripadanya disahkan positif COVID-19 dengan kadar positiviti direkodkan ialah 63.64 peratus.

“KKM hari ini juga melaporkan situasi semasa kes COVID-19 di Taman Wawasan, Beaufort, dan sehingga kini, sebanyak 23 daripada 37 saringan yang dijalankan disahkan positif COVID-19 dengan kadar positiviti direkodkan ialah 62.16 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, PKPD juga akan dilaksanakan di dua lokaliti di Sentosa, Sandakan, selepas KKM melaporkan perkembangan semasa kes COVID-19 di kawasan berkenaan membabitkan Kampung Sungai Obar, Batu 7 dan Fasa 9B, Taman Indah Jaya.

Katanya, sebanyak 10 kes dilaporkan di Kampung Sungai Obar, Batu 7 hasil saringan terhadap 27 penduduk manakala di Taman Indah Jaya 30 kes positif direkodkan selepas 112 penduduk menjalani ujian saringan.

Ismail Sabri berkata, PKPD perlu dilaksanakan di Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah selepas KKM melaporkan peningkatan kes yang amat ketara dalam tempoh singkat apabila sebanyak 22 kes positif direkodkan di lokaliti itu.

Sementara itu, PKPD juga dilaksanakan di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur selepas KKM hari ini melaporkan 65 kes positif COVID-19 dan berlaku peningkatan ketara dalam tempoh dua minggu di lokaliti berkenaan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti berkenaan 10 Jun sehingga 23 Jun ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan penduduk berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.