PKPD: Jangan cuba lari jika enggan dihukum

[email protected]

Ipoh: Meskipun kawat duri hanya dipasang di lokasi tertentu di daerah ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), polis bertindak menggandakan kawalan khususnya di laluan tikus bagi mengelak penduduk lari.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemantauan itu dibuat pasukan pemantau prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan pihaknya memberi amaran kepada penduduk supaya kekal dalam kawasan masing-masing jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas.

“Di Ipoh, lorong-lorong kecil (tikus) terlampau banyak kalau saya nak terangkan. (Jadi) kita takkan letak kawat duri (di sesetengah lorong), tapi akan buat pemantauan berterusan dan mempertingkatkan pasukan pemantau SOP.

“Pemasangan kawat berduri (yang mengelilingi sesebuah penempatan) juga tidak akan dibuat memandangkan mukim meliputi kawasan yang sangat luas. Sebaliknya kawat duri dipasang di beberapa lorong tikus yang menjadi laluan jalan pintas.

“Tindakan akan diambil lebih tegas berbanding sebelum ini bagi mereka yang lari dari kawasan PKPD,” katanya yang ditemui media selepas meninjau pematuhan SOP PKPD di Pasar Awam Kampung Rapat dan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz.

Menurutnya, penduduk melarikan diri dari kawasan wabak boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) selain Kanun Keseksaan.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Hulu Kinta yang membabitkan Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjung Rambutan bermula hari ini hingga 4 Jun, selain tiga mukim lain iaitu Pengkalan Hulu, Taiping dan Hulu Bernam Timur.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata, aplikasi GIS menerusi laman web Sistem Informasi Geografi Negeri Perak (PerakGIS) boleh membantu penduduk di Ipoh mengenal pasti sempadan kawasan masing-masing yang terbabit PKPD.

“Ada masyarakat masih keliru (contohnya) bila sebut mukim Ipoh, mereka sangka semua kawasan (dikenakan PKPD)

“Sedangkan terdapat sesetengah penempatan seperti di Taman (Bandar Seri) Botani yang dikenakan PKPD, namun sebahagian daripadanya tidak termasuk. Jadi laman PerakGis dapat mudahkan penduduk memastikannya,” katanya

Sementara itu, katanya, sehingga semalam, tujuh anggotanya disahkan positif Covid-19, manakala 19 anggota masih menjalani kuarantin.

“Keseluruhannya membabitkan 40 anggota dan isi keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak yang terkesan, iaitu positif – tujuh anggota dan dua ahli keluarga; manakala sedang kuarantin – 19 anggota dan 12 ahli keluarga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.