PKPD: Pasang 45 kawat duri di 9 lokasi di Tumpat

[email protected]

Tumpat: Sembilan lokasi di dua lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini dipasang kawat duri.

Pemasangan kawat duri itu membabitkan lima kawasan di Kampung Kutan Tengah, Mukim Wakaf Bharu dan empat di Kampung Ketil, Mukim Pengkalan Kubor yang dilaksanakan PKPD bermula semalam hingga 24 Jun ini.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis @ Shaffiee berkata, pemasangan 45 gelung kawat duri itu dibuat di laluan utama termasuk lorong tikus di dua lokaliti terbabit bagi mengekang pergerakan penduduk.

“Seramai dua pegawai dan 41 anggota lain-lain pangkat daripada 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) terbabit dalam tugasan pemasangan kawat duri itu semalam.

“Pemasangan kawat duri sebegini dibuat bagi menyekat dan mengepung pergerakan penduduk di PKPD terbabit mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan doktrin yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abu Hasan Assha’ari berkata, seramai 307 anggotanya terbabit dalam aturgerak untuk penugasan Op Penawar dalam membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kelantan.

Beliau berkata, atur gerak itu meliputi aspek kawalan dan rondaan keselamatan di kawasan berisiko tinggi yang diisytiharkan sebagai PKPD, penugasan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ditempatkan di enam lokasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang terdapat di Kota Bharu serta Bachok.

“Selain itu, anggota kami juga kini bertugas di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini iaitu Wakaf Bharu dan Pasir Pekan.

“Warga 8 Briged sentiasa komited dan sedia untuk membantu PDRM dan pihak berkuasa tempatan untuk mengawal serta menyekat penularan Covid-19 dalam komuniti setempat di kawasan berisiko tinggi.

“Pelaksanaan tugas ini sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu menekankan peningkatan hubungan tentera darat dengan orang awam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.