PKRC Maeps sesak, Melaka buka PKRC MITC

Melaka: Kerajaan Melaka akan membuka satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini bermula Jumaat ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, PKRC MITC adalah yang keenam dibuka di negeri ini selepas Kolej Kejururawatan Melaka, Penjara Sungai Udang, Penjara Koreksional Jasin, Pusat Koreksional Malaysia Tanjung Kling dan Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo,

Bagaimanapun, ia merupakan PKRC pertama untuk orang awam, khususnya rakyat Melaka yang dijangkiti Covid-19.

“PKRC berkenaan adalah untuk pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2, dan pembukaannya ekoran kesesakan di PKRC Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), disebabkan peningkatan kes mendadak sejak beberapa hari ini terutama di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Pembukaan PKRC MITC dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan purata kes positif Covid-19 di Melaka buat masa ini adalah sekitar 100 hingga 120 sehari,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke PKRC MITC, hari ini.

Turut hadir Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Ismail Ali.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, kerja-kerja persiapan penyediaan fasiliti antaranya katil dan tandas untuk kegunaan pesakit sedang giat dijalankan ketika ini, dan PKRC itu boleh menempatkan antara 1,000 hingga 1,200 katil dalam satu-satu masa.

Katanya, sebanyak 1,500 petugas dari pelbagai agensi dan jabatan antaranya Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam dan sukarelawan, akan bertugas di PKRC berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), diminta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) khususnya membabitkan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di negeri ini dari semasa ke semasa, dalam usaha mengekang penularan wabak berkenaan terutama dalam kalangan kluster aktiviti terbabit.

“Kita akan lihat perkembangan kes positif Covid-19 melibatkan aktiviti keagamaan bermula 1 Syawal dan sekiranya terdapat peningkatan kes, kita bersiap sedia menurunkan jumlah mereka yang dibenarkan dalam aktiviti keagamaan, sekali gus mengurangkan aktiviti itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.