PKS perlu pakej sokongan kerajaan susulan PKP 3.0

[email protected]

KUALA LUMPUR: Persatuan Peniaga Kompleks PKNS Bangi (PPKPKNSB) menyarankan kerajaan dan agensi berkaitan supaya melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dengan bantuan kewangan kepada peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mempunyai kesan putaran ekonomi lebih meluas dan memastikan pakej rangsangan itu sampai ke sasaran.

Pengerusinya, Mohd Bukhari Bachok, berkata persatuan itu juga meminta pemantauan COVID-19 dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 disatukan di antara agensi yang berkaitan.

Beliau berkata, persatuan itu juga mencadangkan supaya keutamaan perlu diberi kepada penggerak industri dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kerana mereka berhadapan dengan risiko jangkitan setiap hari.

“PPKPKNSB juga mencadangkan supaya moratorium wajib diberikan sekurang-kurangnya enam bulan ke hadapan bagi membantu penggerak industri PKS.

“Kita juga meminta supaya kerajaan meneruskan pakej subsidi upah dan utiliti manakala pengurusan kompleks sama ada milik kerajaan atau swasta mesti lebih prihatin dengan menawarkan pakej baharu bantuan kepada penyewa yang terus terkesan.

“Semua agensi yang berkepentingan mesti bekerjasama lebih-lebih lagi antara kerajaan Pusat dan negeri dan mengkaji balik SOP PKP 3.0, jika tidak sesuai dilaksanakan perlu digugurkan segera seperti masa perniagaan yang tidak munasabah dan lain-lain,” katanya kepada BH hari ini.

Mohd Bukhari berkata, sebanyak 32 kedai dan kios termasuk kedai buku, butik pakaian, kedai gambar dan cermin mata di Kompleks PKNS Bangi terpaksa menutup operasi mereka kerana tiada kekurangan pengunjung berikutan sekatan tambahan SOP PKP 3.0.

Katanya, mereka terpaksa menutup operasi selama seminggu bermula semalam sehingga 1 Jun ini, kecuali jika ada janji temu bersama pelanggan.

Beliau berkata, tindakan itu adalah tanda solidariti PPKPKNSB kepada peniaga di kompleks berkenaan dan usahawan PKS seluruh negara yang terkesan dengan PKP 1.0 sehingga kerajaan umum sekatan tambahan SOP PKP3.0.

Katanya, pihak persatuan menyambut baik penguatkuasaan sekatan tambahan SOP PKP 3.0 ke atas sektor ekonomi dan sosial bagi mengimbangi keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Walaupun boleh meneruskan perniagaan, kami berpendapat ia tetap tidak dapat membantu usahawan PKS yang memang terkesan teruk sejak PKP 1.0.

“Ia secara langsung menghalang pergerakan ekonomi dan kedudukan kewangan yang masih tidak stabil akan menjadi lebih sukar,” katanya.

Mohd Bukhari berkata, kes positif COVID-19 yang kini melebihi 7,000 sehari akan memberi lebih tekanan negatif kepada ekonomi serta kesihatan penggerak industri PKS yang terpaksa berhadapan dengan pelanggan yang tidak dapat dipastikan status kesihatan mereka.

“Jadinya, PPKPKNSB mengambil sikap lebih berhati-hati dan berharap kerajaan dan semua agensi berkepentingan dapat mempertimbangkan cadangan tambahan pihaknya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.