Plat

TERTERA pada plat yang kemek-kemek di muka jalan itu: SASTERA. Saya tidak pernah melihat plat sebegitu sebelum ini. Seingat saya plat dengan saiz sebegitu akan menunjukkan kombinasi nombor dan juga huruf. Lalu saya terfikir adakah ia plat sebuah kenderaan atau sesuatu yang tidak saya ketahui. Saya mengutipnya lalu membawanya balik ke rumah.

Kata adik, ia plat sebuah kenderaan yang bukan calang-calang isinya. Ia sebuah negara bergerak. Atau boleh sahaja ia dianggap selaku kebudayaan yang menjelmakan diri selaku kenderaan yang bergerak di jalan raya persis pemandu normal.

Saya simpan plat itu elok-elok di dalam bilik. Adik mengingatkan agar saya memulangkan plat itu ke balai polis. Kenderaan tanpa plat tidak akan diiktiraf wujudnya serba-serbi. Ia tidak punya identiti dan juga hala tuju nyata. Saya enggan. Sudah saya nyatakan pada adik saya bahawa itu bukan tanggungjawab saya.

Malam itu, saya menyoroti berita-berita di media sosial, cuba mendapatkan gambaran jelas mengenai plat yang saya temui itu. Tiada sesiapa memperkatakan mengenainya. Kenderaan yang bersifat selaku sebuah negara itu bagaimana rupanya? Adakah mirip kereta kebal atau sekadar sebuah bas persendirian yang biasa? Namun, di jalan raya tidak pernah ketemu kenderaan yang aneh melainkan sewaktu perarakan kereta berhias ketika hari kemerdekaan. Itupun budaya perarakan seumpama itu sudah tidak relevan pada waktu ini dan jarang kelihatan di mana-mana.

Tepat pada pukul 11 malam, saya dengar suatu bunyi lantang dari arah dapur. Saya bergerak menuruni anak tangga ke dapur yang agak gelap. Anak tangga ibarat infiniti pilinnya. Di pertengahan perjalanan ke tingkat bawah, saya berhenti setelah kepala dirasakan berat. Bunyi lantang itu seperti bunyi amukan sesuatu atau seseorang yang cuba menggeledah dengan begitu tergesa-gesa.

Pinggan pecah. Mesin penapis air tumbang. Peti ais rebah. Periuk berlaga. Gelas berkecai. Bunyi-bunyian itu meresahkan tetapi saya tidak mampu menuruni anak tangga rumah yang dirasakan berpilin jauh tanpa kelihatan kakinya. Saya merenung ke arah bunyi perkakas dapur dipecahkan tetapi hanya kegelapan menyelubungi ruang.

Adik saya muncul di anak tangga lalu menepuk pipi dan bahu saya, cuba mengembalikan saya ke realiti semasa. Kami bersama-sama menuruni anak tangga yang kini kembali normal. Saya bagi tahu adik saya betapa kepala yang pening dan juga kekacauan di dapur itu harus dihentikan.

Apabila kami tiba di dapur, kami terdiam memerhatikan setiap perkakas dapur berselerak di atas lantai. Pintu dapur pula terkopak. Jeriji yang melapisi pintu juga dipotong orang. Bunyi bising tadi sudah berhenti tetapi saya tahu penceroboh itu pasti berdepan masalah kerana bunyi teriakan orang saling bertingkah dengan bunyi anjing-anjing jiran yang menyalak garang.

Kami bergerak ke muka pintu dapur yang ternganga. Dia mencari kelibat penceroboh tetapi hanya kelihatan anjing-anjing menyerbu ke suatu arah. Dia berhenti sejenak lalu berpaling ke arah saya.

“Pulangkan plat itu. Kalau tidak…”

2.

Tiga tahun lepas, saya teringat terdapat sebuah kereta dengan plat “SASTERA” terjunam ke dalam gaung setelah cuba mengelak sebuah treler yang muncul tiba-tiba dari arah bertentangan. Pemandunya meninggal dunia di tempat kejadian.

3.

Lapan tahun sudah berlalu. Saya tidak lagi berhubung dengan adik saya yang berhijrah ke Argentina lima tahun yang lalu. Saya tidak memulangkan plat yang dimaksudkan. Itupun kerana saya kurang yakin pada kemampuan pihak polis untuk mencarikan pemilik plat tersebut.

Benar, hidup saya tidak tenang setelah menyimpan plat itu. Ibarat menyimpan suatu khazanah penting sebuah negara. Saya sering diburu oleh sesuatu dan rumah digeledah. Namun, walau seteruk manapun rumah digeledah, plat itu tetap tersimpan kemas di tempatnya. Adakalanya saya sengaja biarkan plat itu di tempat terbuka seperti di atas meja atau rak buku. Tidaklah pula sang penceroboh yang menggeledah itu mengusik plat tersebut.

Saya laporkan pada polis mengenai penceroboh tersebut setelah mendapati pada dinding rumah saya tertera tulisan berdarah yang berbaur ugutan: PULANGKAN PLAT ITU, JIKA MAHU HIDUP KAMU SELAMAT. Setelah beberapa minggu, saya dihubungi oleh pihak polis untuk membuat pengecaman. Saya teringin mahu tahu siapakah penceroboh yang konsisten itu. Saya dibawa ke sebuah bilik yang memisahkan saya dengan beberapa orang suspek oleh dinding cermin.

Saya tergamam apabila mendapati salah seorang suspek adalah seorang penulis masyhur yang kerap menyuarakan kekecewaannya ke atas layanan buruk masyarakat ke atas kelompok sasterawan. Tanpa teragak-agak saya tuding ke arah dia dan memberitahu polis: Itulah orangnya.

4.

Adik saya seorang sasterawan. Dia kerap menggambarkan metafora yang pelbagai dalam menggambarkan keadaan situasi yang melanda negara ini. Karya-karyanya sering terbit di akhbar dan majalah. Dia juga mempunyai blog yang memuatkan kritikan sastera, filem dan kehidupan yang diikuti khalayak sastera tempatan. Seringkali dia mewujudkan polemik yang merancakkan dunia perbukuan tempatan.

Hari ini, saya melawatnya di penjara di atas kesalahan pencerobohan dan merosakkan harta benda orang awam. Bahkan dia juga didapati memeras ugut beberapa orang wanita setelah memperdayakan mereka dengan imbuhan wang ringgit. Hal ini mengejutkan kerana setahu saya, dia sepatutnya berada di Amerika Selatan. Dia begitu mengagumi kesusasteraan Amerika Selatan yang melahirkan nama-nama seperti Borges, Zambria, Coltazar, Neruda dan Marquez. Dia terinspirasi untuk mengikuti jejak langkah Zakaria Ali yang pernah menetap di Mexico dan menulis sesuatu mengenainya.

Hidupku adalah magis realisme, ujarnya sebelum bertolak ke Buenos Aires. Lalu apa pula tragedi ataupun insiden yang membawanya kembali ke Malaysia menjadi seorang penyamun? Adakah kehidupan di sana begitu teruk? Saya harus mendapatkan jawapannya hari ini.

Saya terkilan kerana dia tidak memaklumkan perihal kepulangannya ke Malaysia. Biarpun begitu, saya tetap kuatkan hati untuk mendapatkan penjelasan adik saya itu. Mungkin perjalanannya begitu mencabar sehingga memaksanya untuk bertindak sebegini.

Saya menantinya di bilik lawatan. Setelah beberapa ketika, adik saya dibawa masuk. Dia kelihatan lebih kurus dan berwajah cengkung. Dia mengelak daripada merenung saya secara terus. Ibarat seorang pejuang yang sudah kalah di medan perang dan diragut maruahnya. Sungguh, melihatnya begini sudah cukup meruntun hati.

“Aku tak nak tanya kenapa dan mengapa kau jadi begini. Kalau kau tak keberatan, kau ceritalah. Kalau tak, aku tak dapat cakap apa. Tengok kau dalam keadaan begini, aku pun tak tahu nak cakap apa.”

“Maaf.”

“Ibu dah tak ada. Kau tahu bukan?”

Dia menggeleng. Matanya bergenang.

“Ibu rindukan kau. Ingatkan kau dah lupakan kami.”

“Maaf, bang. Maaf. Semua ini… sukar untuk aku telan.”

Saya tidak mampu menghadap mukanya yang dipenuhi kehampaan itu. Waktu lawatan juga sudah tamat. Saya dibawa keluar dari bilik lawatan lalu melangkah keluar dari kawasan penjara. Di hadapan penjara kelihatan sebuah gerai yang dikendalikan seorang lelaki Melayu berusia 40-an.

Saya singgah sebentar di situ demi menghilangkan dahaga. Saya perhatikan tembok penjara yang tinggi sambil memikirkan mengapa adik saya boleh jadi begini. Barangkali dia terlalu obses untuk melalui setiap peristiwa besar supaya pengalamannya yang kaya itu diterjemah ke dalam bentuk tulisannya. Lagipun, dia tetap terus berkarya kerana ketika dia berada di dalam penjara itu, saya mengesan beberapa buah cerpennya tersiar di dada surat khabar dan juga majalah.

Saya teringat sebuah cerpennya yang berjudul “Plat.” Dalam cerpen itu, adik saya merupakan dirinya selaku seorang pemandu sebuah kereta yang terperangkap di lebuh raya infiniti. Selagi tidak ketemu plat keretanya yang tercicir, dia tidak akan dapat singgah di mana-mana destinasi sepanjang perjalanan itu. Dalam cerpen itu, watak utamanya menceritakan kegelisahan sepanjang berada di dalam kereta itu.

Tanpa plat, watak utamanya dikejar peronda lebuh raya dan juga polis kerana disyaki menaiki kereta curi. Plat itu bukan sekadar sekeping logam yang memaparkan nombor pendaftaran kereta semata-mata. Ia adalah identiti dan juga imej yang membolehkan pemilik kereta itu dikenali rakan-rakannya.

Tika keretanya rosak di tepi jalan, tiada sesiapa pun mahu menolongnya. Bahkan dia tersusup-sasap berlari ke dalam belukar di bahu jalan setelah pihak polis mengesan keretanya di bahu jalan. Cerpen itu berakhir dengan wataknya ditangkap dan plat tertulis “SASTERA” pada keretanya itu ditemui di rumah saudaranya.

Kisah itu membuatkan saya termenung seketika. Adakah adik saya kehilangan dokumen pengenalan diri sewaktu berada di Amerika Selatan lalu diburu pihak berkuasa di sana? Saya kembali menatal salinan cerpen tersebut yang sempat saya muat turun beberapa hari yang lepas mencari makna yang tersirat.

5.

Pada lawatan kedua, adik memberitahu pada 13 tahun yang lalu, dia dan sasterawan yang menceroboh rumah saya dan mengugut saya itu pernah memecahkan cermin kereta sebuah kenderaan yang platnya tertulis “SASTERA”. Kereta itu dirembat platnya dan juga beberapa buah buku yang tersimpan di dalam ruang penyimpanan di belakang kereta.

Semenjak kejadian itu mereka hanyut dalam pembacaan lalu berminat mengarang cerita demi cerita. Sehinggalah berlakunya tragedi yang menimpa kenderaan yang mereka pecah masuk itu. Kenderaan itu terbabas ke dalam gaung lantas membunuh pemandunya. Hal itu terjadi kerana adik saya dan sasterawan itu mengejar kereta yang memiliki plat “SASTERA” sehingga membuatkan pemandunya panik.

Oleh kerana dibebani rasa bersalah yang teramat berat, adik saya memilih untuk meneroka dunia sebelum berkelana ke Amerika Selatan lapan tahun lepas. Keputusan itu didorong pula tatkala saya menemukan plat “SASTERA” yang sepatutnya hilang dari kereta mangsa itu berhampiran rumah kami pada waktu itu. Seolah-olah mangsa kejadian itu tahu siapakah yang menyebabkannya terkorban pada waktu itu.

Ketakutan memaksa adik saya untuk berkelana ke Amerika Selatan dengan alasan mahu menggulati dunia sastera di sana.

Saya bertanya pada adik saya, adakah menjadi seorang sasterawan itu harus bertolak dari jenayah? Adik saya menggeleng. Saya meragui setiap naratifnya kerana sehingga ke saat ini adik saya enggan merenung ke dalam mata saya setiap kali menceritakan sesuatu yang tidak terbukti kesahihannya.

Itulah detik terakhir saya melawat adik saya. Saya tidak dapat memaafkannya kerana tergamak menipu saya dan enggan menziarahi ibu ketika sakit. Tidak semua orang boleh diselamatkan sastera.

Ketika balik ke rumah, saya keluarkan plat “SASTERA” itu lalu menampalnya di plat kereta saya. Ia tampak sesuai dan cantik. Entah mengapa, saya dapat merasakan suatu perasaan aneh tatkala melihat kereta saya dilengkapi plat “SASTERA” itu.

Mungkin, sayalah pemandu yang panik dikejar adik saya dan rakan sasterawannya itu hingga terjatuh ke dalam gaung.

Mungkin juga, saya patut menulis sebuah karya agung demi memurnikan sastera daripada kebejatan adik saya dan juga sasterawan yang masih saya tidak tahu namanya itu.

– Jurutera kelahiran Sarawak ini aktif menulis sejak 2014 dan sudah menulis dalam pelbagai genre buku seperti novel, cerpen, puisi dan buku motivasi. Cerpennya yang berjudul “Pengap” telah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.