PM minta JKJAV kaji cadangan pendaftaran vaksin automatik agar lebih ramai divaksinasi

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melihat semula proses pendaftaran vaksin.

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan lebih ramai rakyat divaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melihat semula proses pendaftaran vaksin termasuk cadangan melaksanakan proses pendaftaran secara automatik.

Perdana Menteri berkata beliau juga mendengar keluhan daripada penduduk di luar bandar, kampung-kampung dan pedalaman terutamanya warga emas yang sukar untuk membuat pendaftaran dan menerima vaksin.

“Untuk itu, saya telah mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat agar menggunakan semua aset kerajaan bagi mempermudahkan untuk mereka mendapat vaksin,” katanya menerusi ucapan berhubung perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang disiarkan di stesen televisyen tempatan hari ini.

Setakat semalam, seramai 1,127,336 individu di negara ini telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Mengambil maklum keresahan ramai yang masih belum menerima tarikh janji temu untuk menerima vaksin masing-masing, perdana menteri turut mengarahkan JKJAV memastikan mereka yang telah mendaftar melalui semua platform mendapat tarikh janji temu secepat mungkin.

Beliau berkata sehingga hari ini, hampir 13 juta individu telah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, iaitu hanya 51% daripada jumlah keseluruhan yang layak untuk menerima vaksin.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru rakyat supaya tampil sebagai sukarelawan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin.

Beliau berkata golongan belia serta badan bukan kerajaan dialu-alukan untuk menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara.

“Penglibatan dan sokongan semua pihak amat diperlukan dalam pendekatan ‘whole of government dan whole of society’ untuk kita mencapai 80% yang disasarkan untuk membentuk imuniti berkelompok,” katanya.

Menyentuh mengenai pencapaian program imunisasi itu yang bermula pada 24 Feb 2021, perdana menteri berkata suntikan vaksin harian kini berjaya ditingkatkan kepada kira-kira 100,000 sehari berbanding 5,000 hingga 8,000 suntikan pada permulaan program berkenaan.

Muhyiddin berkata kerajaan telah memberikan lebih tiga juta suntikan dos vaksin dengan lebih dua juta individu menerima satu suntikan dos vaksin Covid-19, sekali gus menjadikan kadar vaksinasi dos pertama Malaysia kini adalah antara tertinggi di Asia Tenggara.

Beliau berkata Malaysia akan menerima kira-kira 16 juta dos vaksin Covid-19 untuk tempoh dua bulan akan datang dan dengan pertambahan bekalan itu, kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian mencecah 150,000 pada bulan ini dan akan terus meningkat.

Lebih 280 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedang beroperasi di seluruh negara kini dan dijangka lebih 300 PPV lagi akan dibuka secepat mungkin, katanya.

Sementara itu, bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam program vaksinasi tersebut, beliau berkata kerajaan telah melancarkan unit vaksinasi bergerak ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman untuk memudahkan proses vaksinasi kepada penduduk kampung, orang asli, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan gelandangan.

Perdana menteri berkata usaha itu tidak dapat dijayakan tanpa perancangan rapi kerajaan dan pengorbanan petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang terlibat.

“Daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemvaksin ataupun ‘vaccinators’, doktor, jururawat, sehinggalah anggota PDRM, ATM, RELA, APM dan para sukarelawan, syabas dan terima kasih atas dedikasi dan kerja keras saudara-saudari bagi memastikan program vaksinasi terbesar dalam sejarah kita ini berjaya dilaksanakan.

“Kepada mereka yang telah menerima vaksin dalam Fasa 1 dan 2 Program Imunisasi, terima kasih juga saya ucapkan kerana telah memainkan peranan anda dalam usaha mengekang pandemik ini,” katanya.

Beliau menegaskan sebagai kerajaan yang prihatin, kerajaan sentiasa mendengar keluhan dan maklum balas rakyat dan akan sentiasa meningkatkan keupayaan dari segi perancangan, kapasiti dan tenaga kerja bagi mencapai objektif utama sasaran iaitu imuniti berkelompok.

Perdana menteri berkata kerajaan komited dan terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar dan teratur.

“Saya akui, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dan saya memberi komitmen bahawa kerajaan akan sentiasa menambah baik program ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.