Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.

Polemik halang capai matlamat imuniti kelompok

[email protected]

PROGRAM Imunisasi COVID-10 Kebangsaan berlangsung sejak Februari lalu, tetapi semakin banyak pula polemik dicetuskan dalam masyarakat.

Pada peringkat awal, beberapa pihak ‘bertelagah’ mengenai keberkesanan varian vaksin tertentu, terutama penggunaan varian Sinovac dari China. Ia menyebabkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin Sinovac.

Perdebatan kembali apabila kerajaan menawarkan suntikan vaksin AstraZeneca secara sukarela kepada warga Lembah Klang yang sebelum itu, ada kebimbangan terhadap kesan sampingannya.

Polemik ini kemudian semakin hangat susulan dakwaan pemberian vaksin COVID-19 tidak mengikut giliran keutamaan dan fasa ditetapkan.

Semua polemik sebegini boleh menjadi penghalang kepada pencapaian matlamat dan aspirasi kerajaan untuk memastikan hingga 80 peratus penduduk menerima vaksin COVID-19 dan mewujudkan imuniti kelompok.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), imuniti kelompok antara usaha mengekang penyebaran virus COVID-19 secara tidak langsung menerusi proses vaksinasi.

Imuniti ini dipercayai dapat memastikan penerima vaksin akan dilindungi daripada simptom lebih teruk, risiko dimasukkan ke hospital dan kematian.

Namun, kita lebih memilih untuk bertelagah mengenai varian vaksin lebih baik, walhal sepatutnya bersyukur kehadiran lebih daripada satu varian vaksin berkesan.

Kita lebih gemar bertelingkah mengenai siapa patut menerima vaksin COVID-19 dahulu, daripada melihat pertambahan peratusan jumlah melalui proses vaksinasi dan menyumbang kewujudan imuniti kelompok.

Memang banyak pihak prihatin terhadap perjalanan Program Imunisasi COVID-10 Kebangsaan khususnya kerana ia turut membabitkan kesihatan orang disayangi seperti ibu bapa sudah tua, selain pekerja barisan hadapan.

Kebimbangan terhadap perjalanan program itu, bukan tidak berasas hingga tidak salah jika kita menimbulkan persoalan mengenai proses berkaitan atau menuntut pihak terbabit lebih bertanggungjawab serta telus dalam pelaksanaannya.

Namun, adalah amat malang jika situasi itu mempengaruhi pertimbangan kita mengenai proses vaksinasi COVID-19 di negara ini. Justeru, sebagai rakyat menyayangi negara, kita perlu melihat perkara ini dalam konteks lebih besar dan mengutamakan kepentingan awam berbanding kehendak serta pilihan peribadi.

Hakikatnya, Islam sendiri menganjurkan keperluan mendahulukan kepentingan awam menerusi konsep maslahat. Pertimbangan mengenai sesuatu perkara boleh disandarkan kepada kepentingan awam, kebajikan masyarakat dan kebaikan lebih besar selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Oleh itu, pewujudan imuniti kelompok dilihat amat menepati penzahiran konsep ini kerana semua rakyat akan menerima perlindungan daripada kesan sampingan COVID-19 apabila lebih 80 peratus daripada populasi menerima suntikan vaksin.

Benar, adalah baik jika kita sendiri mendapatkan vaksin terlebih dahulu, tetapi kebaikannya adalah lebih besar jika lebih ramai orang menerima vaksin ini walaupun giliran kita belum tiba.

Logiknya mudah, semakin ramai menerima vaksin, tanpa mengira varian mana vaksin itu, semakin mudah imuniti kelompok dicapai. Agenda ini sepatutnya menjadi keutamaan kita, berbanding perdebatan sia-sia di alam maya mengenai siapa patut menerima vaksin terlebih dahulu serta varian vaksin bakal kita terima.

Memang mudah untuk saling salah-menyalahkan. Mungkin juga kelesuan pandemik menyebabkan pertimbangan kita sedikit terganggu oleh emosi.

Pada masa sama, kita semua juga boleh mempunyai pendapat berkenaan vaksin COVID-19. Namun, ia perlu berlandaskan fakta sains, bukan daripada mesej berangkai disebarluaskan menerusi kumpulan WhatsApp dan Facebook yang hanya bersandarkan teori konspirasi, falasi dan sumber tidak jelas.

Ini kerana ia hanya akan menghakis keyakinan awam terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan vaksin COVID-19 secara keseluruhannya, yang pastinya akan memberikan ‘khabar gembira’ kepada mereka sinis terhadap proses vaksinasi.

Rakyat Malaysia pastinya mempunyai hati besar dan selalu memikirkan kemaslahatan umat serta kebaikan lebih besar berbanding agenda peribadi. Justeru, mari kita bersatu demi mencapai imuniti kelompok dengan memastikan seramai mungkin rakyat menerima vaksin.

Kita boleh mencapai apa saja dihajatkan asalkan bersatu dan kekal fokus kepada matlamat sebenar. Sebenarnya kita sudah pun melakukan hal ini dengan jayanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu hingga negara merekodkan sifar kes penularan tempatan COVID-19 pada Julai lalu.

Tidak mustahil untuk kita melakukannya dengan lebih baik lagi dan mengulangi pencapaian ini sekali lagi pada tahun ini.

Percayalah, kita boleh menghitung hari menuju hari normal menggembirakan tanpa perlu terlalu khuatir terhadap COVID-19, seperti yang berlaku di New Zealand dan Gibraltar.

Jika tidak, kita hanya akan terus menghitung hari sambil menunggu ketibaan gelombang kes COVID-19 yang seterusnya serta pengumuman pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak berkesudahan.

Penulis adalah Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.