Polis cedera tertembak lengan ketika kejar penjenayah

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera pada lengan kanan selepas tertembak diri sendiri, ketika mengejar penjenayah di Taman Len Seng, Cheras di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, anggota berusia 30 tahun itu bersama sepasukan pegawai dan anggota sedang melakukan rondaan, sebelum terserempak sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dalam keadaan mencurigakan di Cheras Sentral.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata sebaik pemeriksaan ingin dilakukan, kereta yang dipandu seorang lelaki bersama teman wanitanya itu, bertindak melanggar kenderaan polis lalu melarikan diri.

Katanya, apabila tiba di Jalan Len Seng, berlaku kemalangan membabitkan kenderaan suspek dan polis menyebabkan anggota yang duduk di bahagian depan penumpang itu, tertembak lengan kanannya.

“Suspek kemudian melarikan diri sejauh 300 meter dan melompat dari tebing yang ketinggiannya kira-kira enam meter, sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan itu.

“Anggota polis kemudian menghubungi ambulans bagi mendapatkan rawatan, namun lelaki yang didapati mempunyai 25 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes itu, disahkan telah meninggal dunia,” katanya pada sidang media di hadapan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM) di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek, polis menahan teman wanitanya dan menemukan pelbagai peralatan, yang disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah dan kedai.

Sejurus selepas itu, polis menahan tiga lelaki termasuk warga Indonesia dan Myanmar dalam serbuan di Cheras dan Taman Len Seng, dipercayai terbabit dalam kumpulan pecah rumah dan kedai dengan suspek.

Semua suspek yang berumur 30 hingga 48 tahun itu, ditahan reman bermula semalam untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh dan 457 Kanun yang sama kerana pecah rumah.

Mayat suspek dihantar ke HCTM UKM untuk dibedah siasat, manakala anggota polis yang cedera turut dihantar ke hospital sama, untuk mendapatkan rawatan.– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.