Polis KL tumpaskan aktiviti ‘dadah rentas negeri’

[email protected]

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Kontinjen Kuala Lumpur, merampas lebih 50 kilogram (kg) dadah selepas mematahkan aktiviti pengedaran ‘rentas negeri’ oleh dua lelaki yang diberkas di sekitar Cheras, Rabu lalu.

Dalam serbuan pertama pada jam 11.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota JSJN menahan seorang lelaki berusia 57 tahun, yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Camry, di Taman Tayton, Cheras, di sini.

Susulan daripada maklumat suspek terbabit, polis kemudian menyerbu satu unit rumah teres dua tingkat di Alam Damai, Cheras dan menahan seorang lagi lelaki berusia 44 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata hasil pemeriksaan susulan yang dijalankan membawa kepada penemuan dan rampasan sebanyak 43.9 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan 8.4 kg dadah jenis ketamin yang dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.

“Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek ini berperanan sebagai penghantar iaitu membawa dadah dari sebuah negeri di selatan tanah air kepada pembeli di sekitar Lembah Klang terutamanya Kuala Lumpur.

“Semasa penghantaran, suspek akan menyembunyikan bekalan dadah dalam ruang tersembunyi kotak pembesar suara (woofer speaker) di bahagian ruang simpan barang di belakang kereta,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan modus operandi suspek menyembunyikan dadah dalam ruang tersembunyi itu adalah bagi mengelak dikesan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) sepanjang kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan sebelum ini.

“Siasatan juga mendapati suspek membelanjakan RM6,000 untuk mengubahsuai ruang tersembunyi dalam kotak pembesar suara itu yang dilengkapi penutup bermagnet sekali gus menyukarkan dadah itu ditemui sekiranya ada pemeriksaan dibuat,” katanya.

Secara keseluruhan polis merampas dua unit kenderaan jenis Toyota Camry yang kedua-duanya dilengkapi ruang tersembunyi, sebuah motosikal, barang kemas bernilai lebih RM130,000.

Kedua-dua suspek terbabit yang juga didapati positif dadah kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan bermula 6 hingga 12 Mei ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39 B, akta Dadah berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Dadah yang dirampas itu jika berada di pasaran, ia mampu dibekalkan kepada 52,330 orang pengguna dadah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.