Polis Singapura siasat kes pegawai awam dimaki

SINGAPURA: Polis republik ini menyiasat tiga kejadian berasingan di mana kapten bas serta pegawai jarak selamat yang sedang menjalankan tugas masing-masing menjadi mangsa hamburan kata kesat.

Dalam satu kenyataan semalam, polis berkata, enam lelaki yang terbabit dalam kejadian itu masih disiasat kerana tidak mematuhi langkah penjarakan fizikal.

Dalam kalangan mereka, katanya, tiga daripada mereka dipercayai bertindak kasar seperti melemparkan kata-kata kesat terhadap pegawai awam atau pekerja khidmat awam, lapor agensi berita Mediacorp.

“Siasatan awal mendapati dalam ketiga-tiga kes, semua individu berkenaan dipercayai tidak memakai pelitup muka atau tidak memakai pelitup muka dengan betul apabila dinasihati supaya berbuat demikian,” menurut polis.

Pada 30 April lalu, polis mengendalikan kes di Blok 6 Jalan Bukit Merah membabitkan tiga lelaki berusia 26, 27 dan 37 tahun, yang didakwa enggan memakai pelitup muka dengan betul, walaupun berkali-kali disuruh berbuat demikian oleh seorang pegawai penguatkuasaan jarak selamat dan dua duta jarak selamat.

Seorang daripada mereka didakwa menghamburkan kata-kata kesat terhadap kakitangan jarak selamat berkenaan, menurut polis.

Dalam kejadian kedua pada 1 Mei lalu, polis dipanggil ke sebuah tempat perhentian bas di Serangoon Road setelah dua penumpang lelaki berusia 57 dan 65 tahun dikatakan enggan mematuhi arahan kapten bas dan inspektor bas supaya memakai pelitup dengan betul.

Lelaki berusia 57 tahun itu juga didakwa melemparkan kata-kata kesat dan membuat isyarat tangan menghina ke arah kapten bas tersebut, menurut polis.

“Memandangkan tindakannya dipercayai mencetuskan kekecohan dan menyebabkan gangguan terhadap khidmat bas itu, lelaki tersebut diberkas kerana menyebabkan gangguan kepada orang awam,” katanya.

Dalam satu lagi kes yang berlaku pada hari yang sama, polis dimaklumkan mengenai satu kejadian di Orchard Road membabitkan seorang penumpang lelaki berusia 64 tahun yang dikatakan tidak mahu memberi kerjasama dan meninggikan suaranya terhadap seorang kapten bas apabila disuruh memakai pelitup muka dengan betul.

Polis menasihatkan orang ramai supaya memandang serius peraturan jarak selamat. Ia memberi amaran pesalah akan ditangani dengan tegas.

Mereka yang didapati bersalah menghambur kata-kata kesat terhadap seorang pegawai awam atau pekerja khidmat awam boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 (RM15,000) penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang didapati bersalah menyebabkan gangguan terhadap orang awam boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$2,000 (RM6,000) atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa yang didapati tidak memakai pelitup atau memakainya dengan betul apabila berada di luar boleh didenda sehingga S$10,000, dihukum penjara sehingga enam bulan atau kedua-dua hukuman itu. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.