Polis tahan 2 lelaki, rampas lebih 200kg ganja

[email protected]

ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki dan merampas lebih 202 kilogram dadah jenis ganja mampat dalam tiga serbuan di Kedah dan Perlis, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari, berkata serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan Perlis.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 1.45 tengah hari, Sabtu lalu di sebuah kereta jenis PROTON Inspira di tempat letak kereta di hadapan pasar raya di Changlun.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan dilakukan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

“Pemeriksaan pada but belakang kereta menemui enam guni putih berisi 20 slab berbalut kertas kuning keemasan dan plastik lut sinar berisi mampatan daun hijau disyaki dadah jenis ganja seberat 121.785 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin dan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan.

Mohd Roze berkata, susulan itu, serbuan kedua dilakukan pada jam 3 petang hari sama di sebuah rumah di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam dan menemui empat guni putih berisi 81 ketulan disyaki ganja dianggarkan seberat 80.869 kilogram.

Beliau berkata, serbuan ketiga pula dilakukan di hadapan rumah di Kampung Melayu, Padang Besar, Perlis dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.

Katanya, dadah berkenaan ditemui dalam bilik di rumah berkenaan dan dirampas untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan selain PROTON Inspira, polis turut merampas kereta Ford Ranger serta BMW di Perlis.

“Ujian saringan awal mendapati, suspek pertama positif dadah jenis methampetamine dan mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah, manakala suspek kedua tidak bekerja dan negatif dadah, malah tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan dadah dirampas lebih 202 kilogram bernilai RM506,635 manakala nilai keseluruhan termasuk tiga kenderaan dirampas berjumlah RM130,000.

“Dadah ini dipercayai untuk pasaran Kedah dan Perlis, mungkin dibawa masuk melalui negara jiran, namun siasatan masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.