Positif Covid-19? Ini yang patut anda buat

Jika anda didapati positif Covid-19, patuhi garis panduan dan arahan Kementerian Kesihatan (KKM). (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sistem kesihatan awam berdepan tekanan besar dalam tempoh sebulan lalu, dengan kes harian Covid-19 kini mencecah angka 6,000, manakala jumlah kematian rekod dilaporkan setiap hari sepanjang beberapa hari lalu.

Lonjakan kes tidak hanya terhad di Lembah Klang, dengan jangkitan harian di negeri-negeri yang dulunya zon hijau, seperti Pahang dan Terengganu, kembali mencapai angka ratusan.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda ketahui jika anda didapati positif Covid-19:

Perkara pertama didahulukan

Jika anda diuji di fasiliti bukan bawah Kementerian Kesihatan (KKM), daftar diri anda di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) terdekat. Senarai lengkap CAC boleh didapati di sini.

Sekiranya anda diuji di fasiliti KKM, kementerian atau CAC akan menghubungi anda.

Fasiliti penjagaan kesihatan diminta untuk melaporkan kes positif melalui sistem maklumat makmal kesihatan awam (SIMKA). Aplikasi MySejahtera anda juga akan dikemas kini.

Maklumkan kepada individu yang anda jumpa baru-baru ini

Walaupun anda mungkin merasa malu atau teragak-agak untuk memaklumkan status positif Covid-19 anda kepada individu-individu yang anda jumpa baru-baru ini, penting untuk berbuat demikian demi kesihatan dan keselamatan mereka.

Maklumkan kontak rapat tentang status positif anda dan galakkan mereka menjalani saringan.

Di mana anda akan dirawat?

Menurut KKM, terdapat lima kategori pesakit Covid-19:

  • Kategori 1: Tiada gejala (seperti sakit tekak, batuk, sakit kepala atau demam)
  • Kategori 2: Mempunyai gejala, tanpa radang paru-paru
  • Kategori 3: Mempunyai gejala, dengan radang paru-paru
  • Kategori 4: Mempunyai gejala, dengan jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen
  • Kategori 5: Pesakit kritikal dengan pelbagai komplikasi organ

Pesakit dalam dua kategori pertama akan dibenarkan menjalani rawatan di rumah, namun ini juga bergantung kepada usia (warga emas), status kesihatan, dan sama ada penjarakan fizikal dapat diamalkan di rumah.

Jika anda perlu dihantar ke hospital atau pusat rawatan berisiko rendah, tunggu KKM hubungi anda sambil menjalani kuarantin di rumah.

Rawatan di rumah

Gunakan ciri alat penilaian kesihatan (HAT) yang akan ditambah ke aplikasi MySejahtera anda dan pantau keadaan diri sendiri.

Ketika berada di rumah, patuhi garis panduan rawatan di rumah dengan ketat seperti yang ditetapkan KKM.

Elakkan bersentuhan dengan orang lain di rumah, tetapi jika anda harus bercakap dengan mereka, jaga jarak 1 hingga 2m dan pakai pelitup muka. Setiap orang juga harus kerap mencuci atau membersihkan tangan mereka.

Jika keadaan anda bertambah buruk dan anda mengalami kesukaran bernafas atau demam kuat, segera hubungi CAC atau 999.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.