PPV UNIMAS beroperasi esok

[email protected]

Kuching : Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) antara PPV terbesar di negeri ini akan beroperasi sepenuhnya, esok.

Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) UNIMAS, Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, ia antara usaha universiti berkenaan membantu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi khususnya di sekitar Kuching dan Samarahan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Covid-19 UNIMAS berkata, dengan kemampuan mengendalikan sekurang-kurangnya 3,000 suntikan vaksin sehari, pihaknya mampu membantu mencapai kadar tinggi imuniti kelompok masyarakat dalam usaha memerangi Covid-19.

Selain PPV berkenaan katanya, UNIMAS juga merancang untuk melaksanakan program suntikan vaksinasi secara mobil dan juga secara pandu lalu.

“Bagaimanapun, perancangan itu masih dalam perbincangan yang lebih teliti.

“Sebelum rancangan itu direalisasikan, tumpuan kita sekarang difokuskan kepada penyediaan sistem, susun atur logistik serta tenaga kerja bagi PPV UNIMAS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Hospital Pengajar dan Pusat Perubatan UNIMAS, Dr Ehfa Bujang Safawi berkata, lebih 500 penuntut dan kakitangan UNIMAS sudah memohon untuk menjadi sukarelawan bagi membantu pengoperasian PPV.

“Kami sudah menghantar sebahagian sukarelawan yang dipilih untuk menjalani latihan di PPV Stadium Perpaduan Kuching dan PPV Dewan Kota Samarahan bagi mempelajari pengoperasian sistem MySejahtera dan lain-lain,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah PPV UNIMAS berkata, PPV berkenaan dibuka di Dewan Delima iaitu satu daripada dewan di dalam Dewan DeTAR PUTRA, UNIMAS.

PPV UNIMAS membabitkan tiga bahagian utama iaitu 20 kaunter untuk pendaftaran, 12 kaunter vaksinasi dan 10 kaunter pemantauan.

“PPV itu lengkap dengan kemudahan kerusi roda dan laluan khas bagi warga emas dan individu kelainan upaya dan ia dibuka bermula 8.30 pagi sehingga 6.30 petang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.