ProtectHealth syarikat bawah KKM

[email protected]

PUTRAJAYA: ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) yang dilantik sebagai pelaksana pembabitan Pengamal Perubatan Swasta dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), adalah syarikat di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM dalam kenyataannya berkata, pelantikan ProtectHealth di dalam PICK bagi Fasa 2 dan 3 bertujuan membantu kerajaan melaksanakan program berkenaan dengan lebih cekap.

Katanya, ProtectHealth yang ditubuhkan pada Disember 2016 tidak berasaskan keuntungan dan hanya berperanan menyelaras, mentadbir serta menguruskan inisiatif berkaitan pembiayaan perkhidmatan kesihatan seperti diamanahkan kerajaan.

“ProtectHealth ditubuhkan melalui mandat Jemaah Menteri sebagai Pembeli Strategik (Strategic Purchaser) untuk meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan negara sambil memastikan kos penjagaan kesihatan yang munasabah.

“Tadbir urus entiti ini dipantau oleh Jawatankuasa Governans, Pemantauan da Penilaian (GMEC) manakala ahlinya merangkumi wakil Jabatan Akauntan Negara, Penasihat Undang-Undang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Pejabat Menteri Kesihatan dan ahli akademik.

“Ia beroperasi untuk menjalankan inisiatif dan program berkaitan penjagaan kesihatan sebagai penghubung dan pemudahcara dalam kerjasama awam-swasta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, ProtecthHealth berperanan membantu mengoptimumkan sumber sedia ada, di samping meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan.

“Pada 15 April 2019, selaras mandat penubuhan ProtectHealth sebagai Pembeli Strategik, organisasi ini melaksanakan tugasan sebagai pentadbir Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40 (PeKa B40).

“Bermula 12 November lalu, ProtectHealth dilantik sebagai pengendali Pembekal Perkhidmatan Elektronik (ESP) untuk Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) berdasarkan pengalaman dan kemampuan sebagai Pembeli Strategik KKM,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, ProtectHealth mempunyai lima Ahli Lembaga Pengarah dengan dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; wakil KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; wakil Kementerian Kewangan, Datin Rosni Mohd Yusoff; dan Ahli Lembaga Pengarah Bebas, Johari Abdul Muid serta Nurhisham Hussein.

“Ahli Lembaga Pengarah ProtectHealth tidak menerima gaji atau elaun bulanan Lembaga Pengarah,” katanya.

Katanya, Pekeliling Perkhidmatan 3 tahun 1985 bertajuk ‘Garis Panduan Mengenai Perlantikan dan Peranan Pegawai Kerajaan Sebagai Pengerusi, Ketua Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Awam, Syarikat-Syarikat Kerajaan dan Syarikat-Syarikat Kepentingan Kerajaan’ jelas menyatakan penjawat awam dibenar menjadi Ahli Lembaga Pengarah bagi syarikat di bawah kerajaan.

Ini termasuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah.

Sebelum ini, beberapa pihak mempersoalkan pelantikan ProtectHealth yang didakwa ejen swasta dan akan mengenakan caj bayaran untuk mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi PICK.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.