Pulau Pinang batal hasrat beli vaksin

[email protected]

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang tidak akan meneruskan cadangan untuk membeli vaksin COVID-19 bagi keperluan penduduk negeri ini.

Ia berikutan jaminan Kerajaan Pusat yang bekalan vaksin bagi negeri ini akan ditambah sekurang-kurangnya setengah juta dos dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin ketika lawatan ke negeri ini minggu lalu juga memberi komitmen sasaran pemberian vaksin kepada penduduk Pulau Pinang dapat dicapai menerusi program itu.

Berdasarkan kepada jaminan itu, katanya, soal pembelian sendiri vaksin tidak lagi menjadi isu.

“Ini kerana kita akan bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat bagi memastikan bekalan vaksin untuk Pulau Pinang mencukupi.

“Seterusnya matlamat supaya semua penduduk negeri ini menerima vaksin dapat dicapai menjelang Oktober depan,” katanya kepada media, hari ini.

Kon Yeow ditemui selepas melawat hari pertama operasi pusat pemberian vaksin (PPV) mega di Setia SPICE Arena, Bayan Baru, di sini, yang turut dihadiri Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Kon Yeow berkata, dengan tambahan vaksin yang akan diterima daripada Kerajaan Pusat, kerajaan negeri kini menyasarkan bagi memberikan vaksin kepada antara 15,000 hingga 20,000 penduduk sehari berbanding antara 10,000 hingga 15,000 sehari seperti ditetapkan ketika ini.

Katanya, peningkatan penerima vaksin itu juga bagi membolehkan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai pada Oktober depan atau mungkin lebih awal iaitu pada Ogos atau September.

“Keutamaan dan tumpuan kita ketika ini juga dari segi memastikan kemampuan PPV dan tenaga kerja mencukupi supaya matlamat harian pemberian vaksin dapat dicapai,” katanya.

PPV Setia SPICE Arena akan memberi suntikan vaksin kepada 1,000 penduduk sehari serta 3,000 orang pada hari bekerja dan 2,000 orang pada hujung minggu.

Selain PPV awam, enam hospital swasta turut dijadikan PPV bermula hari ini dan 14 Jun dengan kapasiti antara 50 hingga 200 penduduk sehari bergantung kepada kapasiti dan keupayaan.

Bagi PPV klinik pula, ketika ini 13 klinik sudah mendaftar dengan ada yang sudah mula beroperasi dengan kapasiti suntikan vaksin antara 36 hingga 90 penerima seminggu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.