Pulau Pinang tiada masalah individu tidak hadir suntik vaksin

[email protected]

Georgetown: Pulau Pinang tidak berdepan masalah seperti dialami Kedah dan Kelantan berhubung kegagalan orang ramai hadir untuk menerima suntikan vaksin pada temujanji yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Norlela Ariffin berkata, hanya 20 peratus sahaja tidak hadir berdasarkan tinjauan hari pertama pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua bagi golongan warga emas di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) negeri ini.

Menurutnya, jumlah itu kemudian menurun kepada 10 peratus selepas beberapa hari pelaksanaan program PICK di Pulau Pinang dan kini tiada lagi laporan berhubung kegagalan individu hadir dalam temujanji berkenaan.

“Kita tidak ada masalah seperti yang berlaku di Kelantan dan Kedah kerana jika ada pun tidak banyak serta kita sudah bersiap sedia memanggil orang lain untuk menggantikan mereka yang tidak hadir.

“Masalah (tidak hadir) berkenaan hanya berlaku pada hari pertama dan beberapa hari selepas itu sahaja memandangkan kebanyakan warga emas tidak tahu bahawa mereka dipanggil untuk ke PPV kerana tidak menyemak aplikasi MySejahtera, selain ada yang tidak mempunyai pengangkutan.

“Berikutan itu, saya meminta dalam Mesyuarat Pengurusan Pasukan Tugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk memberikan nama warga emas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) supaya kita boleh membantu dari segi logistik serta memberi peringatan temujanji, namun CITF memaklumkan ia tidak perlu kerana tidak ada masalah di negeri ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, melalui laporan yang diterima hanya 61,000 daripada 192,700 warga emas di negeri ini yang berdaftar dalam aplikasi MySejahtera mahu mendapatkan suntikan vaksin.

“Angka ini dilihat masih rendah dan kita kini sedang berusaha melakukan program ‘outreach’ untuk meminta lebih ramai warga emas mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Norlela berkata, sehingga kini lima PPV yang terdapat di Pulau Pinang memberi suntikan sehingga 22,000 dos vaksin seminggu.

“Dalam sehari lima PPV di negeri ini dianggarkan memberi suntikan antara 500 hingga 800 dos vaksin bahkan ada yang mampu memberi suntikan melebihi angka ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 secara outreach di pusat jagaan warga emas bermula 21 Mei lalu.

“Secara keseluruhan, terdapat 56 pusat jagaan warga emas di negeri ini dengan seramai 1,735 penghuni bersama 594 orang penjaga.

“Pelbagai usaha dilakukan untuk memperkasakan program pemberian vaksin ini sekali gus mengekang jangkitan Covid-19,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.