PUNS gesa peserta tampil jika terima gangguan seksual, jenayah

[email protected]

Kota Kinabalu: Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS) menggesa semua wanita Unduk Ngadau (Ratu Kaamatan) supaya tampil bersuara sekiranya menerima sebarang bentuk gangguan khususnya gangguan seksual atau perbuatan jenayah.

Pengerusi PUNS, Ellyanti P. Nelson berkata pihaknya memandang serius terhadap kes yang tular baru-baru ini mengenai isu dakwaan cabul seorang peserta pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri 2021.

Menurutnya, walaupun perkara terbabit masih di peringkat siasatan, namun pihaknya bersedia memberikan segala sokongan kepada mana-mana peserta yang mengalami perkara tersebut.

“Kami (PUNS) juga ingin menyatakan bahawa kami mendengar suara anda dengan jelas dan akan menyokong usaha anda untuk memperoleh keadilan yang sewajarnya.

“Kami juga turut berasa bangga dengan keputusan yang diambil untuk tampil menyuarakan insiden yang berlaku kerana keputusan tersebut sememangnya bukan mudah dan meletakkan anda di posisi yang sukar serta mencabar.

“Namun, PUNS berpandangan bahawa semua wanita Unduk Ngadau perlu berganding bahu dan saling menyokong dalam usaha untuk menyuarakan apa-apa bentuk gangguan atau perbuatan jenayah yang dilakukan terhadap wanita,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Ellyanti turut menyatakan harapan supaya tiada sebarang gangguan ataupun pengaruh oleh mana-mana pihak ke atas peserta UNK ini sepanjang proses siasatan dijalankan.

Semalam, media melaporkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata polis akan menyiasat laporan polis seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri mengenai dakwaan dicabul seorang lelaki yang juga ahli jawatankuasa penganjur pertandingan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.