Pusat Internet Komuniti sedia capaian internet bantu transformasi kehidupan penduduk

Sejumlah 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara menyediakan capaian Internet kepada penduduk di kawasan luar bandar sejak 2007.

PIK juga berperanan sebagai pusat pembelajaran yang menyediakan pelbagai latihan, program kesedaran dan penglibatan komuniti.

PIK turut berfungsi sebagai pusat saluran maklumat dan inisiatif pelbagai agensi Kerajaan dan swasta, termasuk membantu rakyat mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Peranan PIK menjadi semakin signifikan lebih-lebih lagi dalam pandemik COVID-19 yang menuntut penerapan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah dan institut pengajian tinggi terjejas akibat pandemik ini.

Justeru, PIK menjadi pusat tumpuan utama pelajar terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman untuk mengikuti kelas atau menduduki peperiksaan secara dalam talian.

Pembangunan keusahawanan turut menjadi salah satu fokus utama di PIK dalam usaha memperkasakan usahawan tempatan ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya mampan.

Lantaran itu, pelbagai program keusahawanan digital telah dilaksanakan di PIK bagi membimbing usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran lebih luas menerusi platform e-dagang.

Pasaran yang luas mampu meningkatkan hasil jualan, sekali gus menjana pendapatan lebih lumayan. Sehingga kini terdapat 20,353 usahawan PIK yang aktif di seluruh negara.

Sehingga 31 Disember 2020, sejumlah 2.7 juta penyertaan daripada komuniti setempat telah direkodkan menghadiri program dan latihan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Sains dan Teknologi, multimedia, Internet Kebendaan (IoT), e-pembelajaran, dan program pembabitan komuniti yang ditawarkan di PIK.

Sementara itu, bagi tempoh yang sama, jumlah ahli PIK yang berdaftar telah mencecah hampir 678,000 orang, manakala lebih daripada 520,000 bukan ahli turut mendapat manfaat daripada pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di PIK seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.