Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.
Categories
News

Raja Petra diperintah bayar RM600,000 kepada Lim Guan Eng

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng memperoleh ganti rugi sebanyak RM600,000 dalam kes saman fitnahnya terhadap penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin berhubung beberapa siri artikel dakwaan rasuah dalam projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat perintah itu semasa memutuskan taksiran ganti rugi yang diperoleh Lim pada prosiding secara dalam talian hari ini.

Peguam Simon Murali, yang mewakili Lim, ketika dihubungi berkata mahkamah memerintahkan Raja Petra membayar ganti rugi am dan teruk sebanyak RM600,000 serta kos RM10,000 kepada anak guamnya.

“Mahkamah juga memerintahkan defendan (Raja Petra) membayar faedah lima peratus setahun daripada tarikh pemfailan writ saman pada 6 September 2019 hingga penyelesaian penuh kes,” katanya.

Semasa prosiding taksiran ganti rugi pada 14 April lalu, Lim dalam keterangannya menuntut ganti rugi am sebanyak RM20 juta susulan penerbitan 20 artikel dalam versi Bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra bermula Februari 2019.

Setiausaha Agung DAP itu juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM500,000.

Pada 28 Februari tahun lalu, Lim, 61, memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan terhadapnya.

Lim memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar selepas Raja Petra gagal memberi maklum balas terhadap notis saman yang diiklankan melalui tiga akhbar pada 10 Februari 2020.

Sebelum itu, Lim cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhir penulis blog tersebut yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya namun gagal.

Lim memfailkan saman fitnah berhubung penerbitan satu siri artikel ‘Dari Fail SPRM’ dalam versi Bahasa Inggeris dan Melayu oleh Malaysia Today antara 24 Februari dan 15 Mac 2019.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version