Ramai guna surat lama

[email protected]

Gombak: Kebanyakan pengguna jalan raya yang berurusan bagi perkhidmatan penting dilihat masih menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang lama untuk pergerakan rentas daerah, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, keadaan itu dilihat menerusi pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di kedua-dua hala yang dibuka 12 tengah malam tadi.

Katanya, berdasarkan pemerhatian, jumlah kenderaan yang melalui kedua-dua laluan berkenaan agak banyak mengambil kira faktor lokasi SJR itu yang terletak berhampiran Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Kebanyakan individu di dalam kenderaan yang diperiksa mengemukakan surat kebenaran Miti lama yang sudah tamat tempoh berkuat kuasa tengah malam ini.

“Bagaimanapun di peringkat awal ini, kami memberi sedikit kelonggaran dengan melepaskan kenderaan berkenaan meskipun mengemukakan surat kebenaran Miti lama untuk tengah malam ini sahaja.

“Namun, pemeriksaan rapi akan dilakukan dengan orang ramai perlu mengemukakan surat Miti baharu dan jika gagal berbuat demikian, tindakan kompaun akan dikenakan,” katanya ketika ditemui di SJR berkenaan, awal pagi tadi.

Arifai berkata, pihaknya menjangkakan jumlah aliran kenderaan di kedua-dua SJR baharu berkenaan akan meningkat mulai pagi ini.

“Kebanyakan kenderaan yang berulang-alik di laluan ini tengah malam tadi adalah berkaitan dengan perkhidmatan penting membabitkan makanan dan barang basah bagi bekalan pasar borong berhampiran selain kenderaan persendirian.

“Namun, orang ramai diingatkan supaya pergerakan mereka bagi membeli keperluan harian hanya terhad dalam radius 10 kilometer dari tempat tinggal mereka seperti yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis turut menutup dua jalan secara kekal iaitu Jalan Selayang Segar dan Jalan Selayang Pandang dengan menggunakan batu penghadang bagi mengurangkan pergerakan penduduk setempat di kawasan berkenaan.

“Kita sudah bertugas bagi tempoh 430 hari mengendalikan SJR dan pemantauan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pastinya orang ramai juga sudah memahami prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Justeru itu, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP berkenaan kerana sekarang bukan lagi fasa untuk menasihati atau memberi amaran, tetapi terus ambil tindakan,” katanya.

Katanya, pihak polis mempunyai kelengkapan serta keanggotaan yang mencukupi untuk bertugas menjaga kawalan di SJR serta pasukan pemantauan di daerah berkenaan sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula tengah malam tadi sehingga 14 Jun nanti.

“Ini kerana kami mendapat bantuan dari segi logistik serta keanggotaan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published.

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.