Rangka hala tuju pemulihan pelancongan, gesa persatuan

Penyelidikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati sebanyak 239 juta pelawat melancong di dalam negara pada 2019, meningkat 8.1% berbanding 2018. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Persatuan pelancongan menggesa kerajaan untuk merangka hala tuju peta pemulihan pelancongan.

Setiausaha Agung Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, garis panduan seperti itu akan membantu industri membuat rancangan dan persiapan strategik dan menyelaraskan usaha pemulihan mereka dengan kerajaan.

“Pemulihan dalam sektor pelancongan akan mengambil masa yang lama dan ia tidak akan pulih sepenuhnya sehingga pintu sempadan domestik dan antarabangsa dibuka semula.

“Oleh itu, MATTA menggesa kerajaan merangka hala tuju pemulihan pelancongan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Wong berkata MATTA dan beberapa rakan kongsi utamanya dan rakan kongsi yang paling berpengaruh, seperti Persatuan Hotel Malaysia dan Persatuan Konvensyen dan Penganjur Pameran Malaysia dan Pembekal akan terus bekerjasama dan menyokong Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan agensi berkaitannya.

Beliau berkata MATTA sudah bersedia bekerjasama dengan jabatan kerajaan lain untuk memperkasakan semula industri pelancongan tempatan sebagai persiapan untuk masa depan.

“Seperti kejayaan di beberapa negara di seluruh dunia, pelancongan domestik memainkan peranan besar dalam mempertahankan industri pelancongan lokal.

“Industri telah membuat persiapan yang signifikan untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia dapat memulakan perjalanan dalam negeri dengan selamat dan bagi perniagaan untuk memulakan penganjuran acara dan persidangan sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berakhir,” katanya.

Penyelidikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati sebanyak 239 juta pelawat melancong di dalam negara pada 2019, meningkat 8.1% berbanding 2018.

Pelawat domestik membelanjakan RM103.2 bilion pada 2019 dengan kadar pertumbuhan tahunan 11.5%.

“Gelembung perjalanan domestik seperti banyak inisiatif sama sepertinya di seluruh dunia hanyalah mekanisme yang diwujudkan untuk menguatkuasakan prosedur operasi yang diperlukan kepada pelancong dan pengendali pelancongan.

“Tindakan mesti diambil terhadap penumpang atau pengendali jika didapati bersalah dengan sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya merujuk kepada sekumpulan pelancong yang mengunjungi kasino di Genting Highlands baru-baru ini dalam suasana pandemik Covid-19.

Beliau juga memuji kerajaan untuk keputusannya untuk tidak melaksanakan PKP sepenuhnya terhadap sektor ekonomi.

Wong berkata keseimbangan antara menyelamatkan nyawa dan kelangsungan kehidupan sangat penting supaya negara dapat pulih pasca-pandemik Covid-19.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.