Ratusan rakyat Palestin cedera bertempur polis Israel

BAITULMAQDIS: Israel berikrar untuk mengembalikan ketenteraman di sini, selepas ratusan rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel.

Polis melepaskan tembakan meriam air dan gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin dekat bandar lama Pintu Gerbang Damsyik serta berhampiran Sheikh Jarrah.

Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan seramai tujuh orang cedera termasuk empat daripadanya dimasukkan ke hospital dalam pertempuran di Pintu Gerbang Damsyik dan Sheikh Jarrah.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mempertahankan tindakan Israel menangani protes dan rusuhan yang berlaku di timur Jerusalem.

“Kami akan terus menegakkan undang-undang dengan penuh tanggungjawab dan akan memastikan kebebasan kepada semua agama,” katanya.

Bagaimanapun, tindakan Israel terutama dalam insiden dalam kawasan Masjid Al-Aqsa Jumaat lalu, menerima kritikan pelbagai pihak.

Semua enam negara Arab yang memiliki hubungan diplomatik dengan Israel iaitu Mesir, Jordan, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan mengutuk keganasan negara Yahudi itu di Al-Aqsa.

Selain itu, ketegangan dijangka memuncak apabila Mahkamah Agung membicarakan kes rayuan Palestin mengenai isu penempatan haram Israel di Sheikh Jarrah.

Bagaimanapun, Kementerian Kehakiman memaklumkan perbicaraan terbabit mungkin akan ditangguhkan berikutan beberapa insiden yang berlaku. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.