Remaja Singapura mengaku hantar ugutan bunuh kepada pemain EPL

Singapura: Seorang remaja mengaku bersalah menghantar ugutan bunuh kepada pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), Neal Maupay selepas naik angin dengan aksi pemain berkenaan.

Derek Ng De Ren, 19, dikatakan berang ketika menonton perlawanan antara Brighton dan Arsenal pada Jun tahun lalu di mana, penjaga gol Arsenal, Bernd Leno diusung keluar pada separuh masa pertama perlawanan selepas bertembung dengan Maupay.

Penyerang berasal dari Perancis itu kemudian menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan getir untuk Brighton.

Ng menyalahkan Maupay atas kekalahan Arsenal dan menghantar mesej kepada Maupay melalui Instagram, kata dokumen mahkamah.

“Awak fikir awak boleh terlepas selepas mencederakan Leno? Tidak sama sekali. Namun, jangan risau awak akan selamat dan tidak akan disakiti. Ia lebih menyeronokkan melihat awak berasa sakit ketika menyaksikan orang tersayang terseksa,” tulisnya dalam mesej di Instagram, selain turut memberi ugutan bunuh kepada Maupay dan keluarganya.

Walaupun menggunakan akaun tanpa nama dan tidak mendedahkan lokasinya, Ng dilihat berpotensi ‘menyebabkan kerosakan’ kepada Maupay, kata pendakwaraya Jeremy Bin kepada mahkamah di Singapura.

“Mangsa benar-benar percaya bahawa ancaman ini sah dan boleh dipercayai, dengan anggapan bahawa penyerang mungkin berada dekat dengannya, dan memastikan keluarganya berada sejauh mungkin,” katanya.

Ng mengaku bersalah atas dua tuduhan gangguan, dan dua tuduhan serupa akan dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.

Dia menghadapi hukuman penjara hingga enam bulan untuk setiap tuduhan dan denda yang besar. Dia akan dijatuhi hukuman bulan depan.

Selepas pemain itu melaporkan mesej berkenaan, EPL bekerjasama dengan pihak berkuasa di Singapura untuk meneruskan tindakan undang-undang, kata liga itu dalam satu kenyataan.

“Seperti yang ditunjukkan oleh kes ini, kami memandang serius setiap laporan dan akan melakukan segala yang kami mampu untuk mengenal pasti dan menyiasat pesalah dan mengambil tindakan undang-undang, di mana sahaja di dunia ini,” kata ketua eksekutif Richard Masters.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.