[REVIEW] Filem JUANG Sentuh Emosi Penonton, Ramai Pelakon Terkenal Tapi Rasa Tak Puas?

Bayangkan bagaimana sebuah filem diarahkan oleh 5 orang pengarah yang terkenal di Malaysia, mesti hebat kan? Itulah yang terjadi dalam filem mega, JUANG yang diarahkan oleh Aziz M Osman, Yusry Abdul Halim, Kabir Bhatia, Osman Ali, dan Matt Lai .

Murai MY berpeluang menyaksikan tayangan perdana filem Juang yang berlangsung di DADI Cinema, Pavillion Kuala Lumpur. Turut berlangsung acara karpet merah dan sidang media yang dihadiri barisan pelakon dan pengarah selepas tayangan perdana semalam.

Secara ringkasnya,  jalan cerita filem ini sangat jelas iaitu berkisarkan sejarah penuh duka saat COVID 19 ‘membadai’ dunia dan negara beberapa tahun yang lalu.

 

JUANG yang dibarisi aktor dan aktres handalan berbilang kaum termasuk Zul Ariffin, Zizan Razak, Janna Nick, Izzue Islam, Sangeeta, Chew Kin Wah, Angelin Tan, Steve Yap serta penampilan Allahyarham Adibah Noor ini akan memaparkan perit getir yang diinspirasikan sepanjang dua tahun negara berdepan pandemik yang cukup meninggalkan kesan mendalam ini.

REVIEW filem JUANG

Secara peribadi, filem JUANG boleh dikatakan sebuah naskhah yang penuh dengan babak emosi sehingga boleh mengalirkan airmata penonton. Kepada anda yang pernah menjadi salah seorang rakyat Malaysia yang terjejas semasa pandemik, pasti boleh buatkan anda rasa sebak setelah mengenangkan apa yang telah terjadi dahulu.

Jalan ceritanya yang terpisah dengan beberapa situasi yang berbeza. Bermula dari kisah pahit getir petugas barisan hadapan sehinggalah kehidupan masyarakat Malaysia yang terjejas selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Lebih menarik, ada juga kisah benar yang menjadi inspirasi untuk diselitkan dalam filem JUANG ini. Antaranya kisah bagaimana kerajaan kita menghantar bantuan ke Wuhan, China ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu dan kisah anggota polis maut dilanggar pemandu mabuk dalam sekatan jalan raya.

Namun, bagi saya alangkah baiknya jika pengarah membuat sedikit pertalian antara kesemua cerita yang dipisahkan agar ia nampak lebih menarik. Filem ini mengingatkan saya kepada filem SEPI arahan Kabir Bhatia pada tahun 2008. Filem drama romantik ini mengisahkan 3 orang yang berasingan mengenal erti cinta, namun setiap kisah mempunyai hubungan antara satu sama lain.

Dalam pada itu, saya merasakan kemunculan pelakon-pelakon hebat dan nama-nama besar dalam industri agak singkat dan rasa tidak puas. Mungkin terlalu ramai penglibatan pelakon dalam filem JUANG ini sehinggakan mereka seolah-olah muncul sebagai ‘cameo’ antaranya seperti Fahrin Ahmad, Vanidah Imran, Lisdawati dan ramai lagi.

Pujian harus di berikan kepada pelakon Sangeeta yang memegang watak sebagai penghantar makanan. Bagi saya peranan Sangeeta dalam filem ini agak menonjol dan dia mampu membawakan watak dengan baik sekali.

 

Filem ini diperkuat dengan lagu tema Wira Hatiku dendangan Datuk Sheila Majid bersama iringan muzik terbaik dari Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO). Turut menambahkan keistimewaan JUANG apabila pesohor nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza terlibat mendendangkan lagu tema berjudul Sama Sama.

SINOPSIS

Lima pengarah menghasilkan karya yang disatukan dalam sebuah naskhah dengan kaca mata dan perspektif mengenai situasi pandemik COVID 19 yang melanda dunia, dua tahun lalu. Ia mengangkat kisah perih getir para pemain barisan hadapan atau frontliners termasuk polis, doktor, jururawat, tentera serta penghantar makanan dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin.

Jangan lupa untuk memberikan sokongan dan tanda penghargaan terhadap para frontliners kita dengan menonton JUANG, yang juga pasti akan membangkitkan perasaan haru bagaimana kita semua mampu melepasi pandemik tersebut dengan serba payah. Filem ini bakal berada di pawagam 8 September 2022. Para peJUANG menanti anda!

The post [REVIEW] Filem JUANG Sentuh Emosi Penonton, Ramai Pelakon Terkenal Tapi Rasa Tak Puas? appeared first on Murai MY.

Read More

Sumber Web: Murai MY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.