RHB Bank catat untung bersih suku pertama RM650.39 juta

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih tinggi sebanyak RM650.39 juta dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2021, meningkat 13.9 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu.

Ia disumbang terutamanya daripada pendapatan berasaskan dana bersih dan bukan dana yang tinggi.

Peningkatan pendapatan tahun ke tahun itu adalah hasil daripada pendapatan pembiayaan bersih dan pembiayaan bukan pendapatan yang tinggi, yang diimbangi sebahagiannya oleh elaun tinggi bagi kerugian kredit, perbelanjaan operasi tinggi dan kerugian pengubahsuaian bersih bagi tempoh itu, kata bank tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, hasil susut kepada RM2.91 bilion berbanding RM3.21 bilion sebelumnya manakala pendapatan asas sesaham naik kepada 16.22 sen daripada 14.24 sen.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Khairussaleh Ramli dalam satu kenyataan berasingan berkata pendapatan berasaskan dana bersih RHB meningkat sebanyak 12.6 peratus tahun ke tahun kepada RM1.42 bilion, didorong oleh pengurusan kos pembiayaan proaktif yang turun 36.4 peratus, disokong oleh pertumbuhan nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) pada 25.6 peratus.

Margin faedah bersih bagi suku tersebut adalah pada 2.17 peratus berbanding 2.11 peratus yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Bank itu juga berkata lembaran imbangan dan paras modalnya kekal kukuh.

“Pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan meningkat sebanyak 6.8 peratus tahun ke tahun kepada RM188.2 bilion, disokong terutamanya oleh pertumbuhan dalam gadai janji, pembiayaan auto, perusahaan kecil dan sederana dan operasi di Singapura.

“Pinjaman dan pembiayaan domestik meningkat 6.0 peratus tahun ke tahun manakala bahagian pasaran pinjaman domestik berada pada 9.0 peratus pada akhir Mac 2021,” katanya.

Pinjaman rosot nilai kasar bank berjumlah RM3.1 bilion setakat 31 Mac, 2021, dengan nisbah pinjaman rosot nilai kasar 1.66 peratus berbanding RM3.5 bilion dan 2.00 peratus dalam tempoh yang sama pada 2020.

– Bernama

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.