Rizal Rickman dilantik Pengerusi baharu Sime Darby Property

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd melantik Rizal Rickman Ramli sebagai Pengerusi bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang bersara selepas memegang jawatan itu selama tiga tahun.

Rizal adalah Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Swasta dan Strategik, Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang kini menguruskan tiga aset utama iaitu pelaburan strategik, pasaran persendirian dan hartanah.

PNB memiliki kepentingan majoriti sebanyak 51.1 peratus dalam Sime Darby Property.

“Rizal sebelum ini memegang jawatan sebagai Naib Presiden Eksekutif PNB (Ketua Pegawai Pelaburan, Hartanah) dan Naib Presiden Eksekutif (harta/hartanah) sebelum memegang jawatannya sekarang,” kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Sebelum menyertai PNB, Rizal adalah Rakan Kongsi Pengurusan Negara Boston Consulting Group (BCG) di Malaysia dan menguruskan tugasan pelanggan daripada lebih 10 negara.

Bidang kepakarannya meliputi pembangunan strategi (inovasi dan pertumbuhan model perniagaan) serta transformasi peringkat korporat dan industri.

Rizal mempunyai Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Kellogg School of Management, Northwestern University, Amerika Syarikat.

Sime Darby Property dalam laporan tahunan 2020, berkata Zeti akan mengekalkan jawatannya sehingga mesyuarat agung tahunan ke-48 yang berlangsung pada 6 Mei.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Sime Darby Property pada 23 Julai 2018.

Beliau mengambil alih jawatan daripada Tan Sri Abdul Wahid Omar yang bersara pada akhir Jun 2018.

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.