RM62.3 juta melayang angkara pinjaman tak wujud pada 2020

[email protected]

Kuala Lumpur: Tawar pinjaman di media sosial dengan kadar faedah rendah dan kelulusan segera, tapi itu sebenarnya taktik licik sindiket pinjaman wang tidak wujud untuk menjerat mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, mangsa yang berminat akan dihubungi sindiket sebelum diminta membuat pembayaran pendahuluan.

“Sindiket mendakwa pembayaran itu bertujuan bagi yuran perjanjian, insurans, pengaktifan akaun dan sebagainya.

“Namun, selepas bayaran dibuat, pinjaman dijanjikan tidak diperoleh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, sepanjang 2019, sebanyak 5,039 kes dilaporkan dengan kerugian bernilai RM48.4 juta dan terus meningkat kepada 5,718 kes dengan kerugian mencecah RM62.3 juta pada 2020.

Menurutnya, pada 2021 sehingga 18 Mei, sebanyak 1,987 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM20.2 juta.

“Dalam usaha untuk menangani kes sedemikian, aspek pencegahan kesedaran masyarakat perlu dititikberatkan selain tindakan pembenterasan pihak polis.

“Beberapa tips boleh digunakan bagi mengelak daripada menjadi mangsa iaitu usah mudah percaya dengan iklan tawaran promosi pinjaman dengan tawaran kadar faedah rendah dan proses permohonan segera tanpa syarat ketat.

“Selain itu, hadir secara fizikal ke institusi perbankan atau kewangan berlesen sahaja. Ingat, tiada sebarang bayaran wang akan dikenakan sebelum permohonan diluluskan,” katanya.

Zainuddin berkata, pengguna diminta supaya tidak memberikan maklumat peribadi atau akaun bank dan kad ATM kepada mana-mana individu tidak dikenali.

Beliau berkata, orang awam boleh membuat semakan melalui laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pengesahan syarikat pinjaman berlesen atau tidak di https://www.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/585 atau semak akaun bank dan nombor telefon diragui di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

Katanya, masyarakat boleh melaporkan kepada CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.