Rokok, bir dan mercun seludup RM2.3 juta dirampas

[email protected]

KUALA LUMPUR: Polis merampas pelbagai jenis rokok, minuman keras jenis bir dan mercun dipercayai diseludup bernilai RM2.3 juta, selepas menahan lapan lelaki menerusi Op Kontraban antara 2 Mei hingga semalam.

Dalam enam serbuan di sekitar Selangor dan Johor itu, pasukan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menangkap semua suspek berusia antara 33 hingga 64 tahun.

Komander PGA Briged Tengah Cheras, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim, berkata pihaknya menangkap seorang lelaki berusia 39 tahun dalam serbuan pertama di sebuah premis dekat Jalan Parit Yaani, Batu Pahat, Johor pada 2 Mei lalu.

Beliau berkata, penangkapan suspek oleh Batalion 5 PGA Simpang Renggam pada jam 2.30 petang itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis rokok dan mercun bernilai RM135,998.

Katanya, Batalion 4 PGA Semenyih Selangor pula menyerbu sebuah premis di Jalan Bistari, Taman Universiti, Sungai Tangkas, Kajang, pada jam 4 petang, sehari selepas itu.

“Susulan itu, kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dan merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM509,600. Dalam serbuan ketiga, Batalion 5 PGA Simpang Renggam menahan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun.

“Serbuan itu dilakukan di sebuah premis dekat Jalan Perjiranan, Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor, pada jam 10 pagi kelmarin. Kita turut merampas pelbagai jenis mercun dipercayai bernilai RM115,318.

“Serbuan keempat dan kelima dilakukan pada hari sama dilakukan pasukan sama. Serbuan keempat di sebuah premis dekat Jalan Putera, Taman Putera Indah, Muar Johor, pada jam 11 pagi dengan tangkapan dua lelaki berusia 33 dan 37 tahun serta rampasan mercun RM352,350.

“Serbuan kelima di sebuah premis di Jalan Silat Cekak, Taman Selesa Jaya, Skudai, Johor, pada jam 12.30 tengah hari dengan penahanan seorang lelaki berusia 64 tahun dan rampasan rokok RM913,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad berkata, serbuan keenam dilakukan Cawangan Risik Briged Tengah PGA Cheras di Persiaran Galaksi, Taman Desa Subang, Shah Alam, Selangor, pada jam 4.45 petang semalam.

“Kita membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori tiga tan yang membawa penahanan seorang lelaki berusia 43 tahun dan rampasan minuman keras jenis bir bernilai RM288,964.

“Op Kontraban dilancarkan Briged Tengah PGA berjaya melumpuhkan beberapa sindiket pengedaran rokok, minuman keras jenis bir dan mercun seludup tidak bercukai di sekitar Selangor serta Johor,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

“Kita berterima kasih kepada masyarakat yang sentiasa membantu menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.