Rombak strategi perangi Covid-19, Kit Siang beritahu Putrajaya

Lim Kit Siang berkata perlunya kecekalan, kepercayaan dan keyakinan rakyat dalam memerangi pandemik Covid-19.

PETALING JAYA: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Putrajaya merombak keseluruhan strategi dalam memerangi virus Covid-19, selepas strategi yang digunakan selama 16 bulan ini dilihat gagal.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kegagalan mengawal penularan virus berkenaan menjadikan Malaysia antara negara berprestasi buruk, bahkan lebih teruk dari Amerika Syarikat.

Menurut data laman sesawang ‘Our World Data’, purata tujuh hari kes Covid-19 per sejuta penduduk, Malaysia mencatatkan angka lebih tinggi berbanding AS dan United Kingdom – Malaysia pada 129.91 berbanding AS (100.34) dan UK (933.69).

“Kita mempamerkan prestasi sangat lemah dalam setiap aspek pandemik Covid-19, mengakibatkan negara mencatatkan jumlah kumulatif yang sangat besar, peningkatan kes dan kematian baru yang tinggi setiap hari, di samping kadar proses vaksinasi yang rendah,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, FMT melaporkan orang di sekeliling Perdana Menteri Muhyiddin Yassin termasuk beberapa menteri memberi amaran mengenai kemarahan rakyat yang semakin meningkat, dengan harapan kerajaan akan menggunakan strategi komunikasi yang lebih baik untuk meredakan ketegangan.

Dua orang dalam parti Bersatu itu berkata, kerajaan gagal berkomunikasi secara berkesan dengan rakyat, bergantung hanya pada data dan bukan kisah sebenar mengenai rakyat yang menderita Covid-19.

“Ada beberapa kebenaran yang sukar yang perlu diketahui oleh perdana menteri. Kami telah sampaikan mesej itu. Sekiranya mereka tidak ambil perhatian, kerajaan mungkin tidak dapat melawan kemarahan itu,” kata seorang sumber.

Sumber itu berkata, kebanyakan pemimpin menyedari mereka mungkin sudah terlambat untuk meredakan kemarahan tetapi “masih ada harapan kerana kita (kerajaan) tidak mahu adakan pilihan raya umum pada tahun ini”.

Katanya, beberapa ahli parti tidak senang dengan cara kerajaan mentadbir negara.

“Bagaimanapun, adakah Muhyiddin akan dengar? Saya sudah katakan kerajaan Muhyiddin berdepan krisis nasional dan ia tidak memiliki keyakinan rakyat untuk mentadbir, mengurus malah menyelesaikan masalah.

“Pembangkang bersedia untuk membentuk kerajaan bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional dalam melawan pandemik – bersidang di Parlimen, tiada gerakan ‘undi tidak percaya’ dan menggerakkan mobilisasi nasional untuk memulihkan negara menjadi normal.

“Namun, tiada sebarang maklum balas daripada kerajaan Muhyiddin,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata perlunya kecekalan, kepercayaan dan keyakinan rakyat dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Sebagai contoh, terdapat keraguan sama ada kerajaan pusat bersedia untuk menamatkan monopoli dalam pembelian vaksin.

“Adakah Muhyiddin sedar bahawa pemerintahannya berdepan krisis keyakinan terburuk dalam sejarah Malaysia?,” soal beliau.

Malaysia kini merekodkan 474,556 kes Covid-19 dengan 1,947 kematian.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.