Rujuk kes bukan COVID-19 ke hospital swasta -APHM

[email protected]

KUALA LUMPUR: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menggesa lebih banyak kes bukan COVID-19 dirujuk kepada hospital swasta, sekali gus membolehkan hospital kerajaan menumpukan rawatan terhadap kes virus berkenaan.

Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh, berkata rawatan bagi pesakit bukan COVID-19 di hospital swasta akan dibiayai kerajaan berdasarkan surat pekeliling dan doktor akan memberikan rujukan mengikut keadaan pesakit.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengeluarkan surat pekeliling tahun lalu sebelum ia dikemas kini baru-baru ini.

Katanya, pekeliling itu memaklumkan hospital kerajaan dibenarkan merujuk pesakit bukan COVID-19 dalam usaha mewujudkan lebih banyak ruang di hospital kerajaan.

Pekeliling itu merangkumi semua dasar rujukan dan skim pembayaran oleh kerajaan berdasarkan kriteria yang ketat.

“Justeru kami berharap supaya doktor di hospital kerajaan dapat merujuk pesakit ke hospital swasta tanpa bertangguh lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Kuljit berkata hospital swasta mempunyai keterbatasan untuk merawat pesakit COVID-19 berikutan berdepan kekangan kekurangan tenaga kerja doktor, pegawai perubatan dan bilangan doktor pakar.

Bagaimanapun, katanya hospital swasta mempunyai kemampuan membantu kerajaan merawat pesakit bukan COVID-19 dan ini secara langsung, membolehkan hospital kerajaan secara eksklusif mengendalikan kes semasa COVID-19 yang semakin meningkat.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan banyak pembedahan dan prosedur elektif di hospital kerajaan di Lembah Klang terpaksa dikurang atau ditunda bagi membolehkan lebih banyak unit katil digunakan untuk pesakit COVID-19.

Dr Kuljit berkata usaha Dr Noor Hisham yang memulakan inisiatif garis panduan bagi hospital swasta belum memuaskan berikutan hanya sebilangan kecil kes dirujuk kepada hospital swasta.

“Ini membuatkan pesakit menunggu berbulan-bulan untuk dirawat di hospital swasta,” katanya

Katanya, ketika ini kira-kira 31 hospital swasta di Lembah Klang turut memberikan rawatan untuk pesakit COVID-19 sama ada di wad biasa ataupun di unit rawatan rapi (ICU).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.