Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.
Categories
News

Sabah ketat SOP, elak penularan COVID-19 dari luar

bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan ke Sabah susulan kes indeks COVID-19 dari Labuan mencetuskan penularan jangkitan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan dua kes membabitkan pasangan suami isteri dari Labuan yang memasuki Sabah sehingga mencetuskan kluster di Tawau.

“Kes indeks iaitu pasangan suami isteri dari Labuan menjalani saringan masuk ke Sabah pada 7 Mei dan didapati negatif COVID-19.

“Selepas seminggu berada di Tawau untuk berhari raya di Ladang Abaka, kes indeks yang mempunyai gejala pada 12 Mei kemudiannya disahkan positif pada 14 Mei dan menjangkiti sembilan ahli keluarga serumah.

“Kes kedua juga dari Labuan yang balik untuk berhari raya ke Tawau pada 8 Mei kemudian disahkan positif COVID-19 pada 16 Mei.

“Dalam tempoh itu, kes indeks yang menetap di ladang Kampung Sungai Imam, Tawau turut menziarahi keluarga di Taman Barkeley menyebabkan jangkitan kepada 43 ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan semalam.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri memperincikan beberapa ketetapan mengenai SOP kemasukan ke Sabah.

Menurutnya, pengambilan ujian saringan dengan keputusan negatif diwajibkan bagi setiap individu yang ingin memasuki Sabah, di samping turut menetapkan orang bukan asal Sabah dikehendaki kuarantin wajib selama 14 hari di hotel atas tanggungan sendiri.

“Bagi penduduk asal atau penduduk tetap dan pemegang pas kerja yang bermastautin di Sabah dikehendaki menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah apabila tiba di sini.

“Kemasukan pegawai kerajaan yang mempunyai surat rasmi bertugas di Sabah adalah dibenarkan.

“Selain itu, orang luar atau pelabur asing yang datang untuk tujuan membuat pelaburan di Sabah adalah dibenarkan melalui kebenaran khas dengan mengemukakan permohonan terlebih dahulu,” katanya.

Masidi berkata kemasukan pegawai kerajaan dan orang luar atau pelabur asing juga tidak terkecuali diwajibkan untuk membuat ujian saringan COVID-19 dengan keputusan negatif sebelum memasuki Sabah.

Peraturan baharu itu akan berkuat kuasa mulai 20 Mei ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Exit mobile version