‘Saya terharu kesanggupannya tawarkan slot janji temu vaksin’

[email protected]

Nibong Tebal: “Saya terharu dan hargai kesanggupannya untuk menawarkan emak saya slot janji temu vaksinasi diperolehnya tetapi tidak dapat menerimanya kerana ramai di luar sana lebih memerlukan,” kata Pelatih Pengeluaran Fatin Faieznur Tubani yang juga bekas pesakit Covid-19.

Fatin Faieznur, 29, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai tawaran diberikan seorang wanita kepada ibunya, Che Hasni Mohamed, 53.

Wanita yang menggunakan nama Hongling Sayumie dalam Faceboo (FB) itu menyatakan kesediaannya memberi slot janji temu diperoleh menerusi ruangan komen FB rasmi Harian Metro yang memuat naik berita mengenai Fatin Faieznur dan ibunya, semalam.

“Ibu kamu lebih memerlukan slot itu, saya mahu berikan slot itu kepada ibu kamu, saya menetap di Kuala Lumpur.

“Boleh ahli Jawatankuasa Vaksin bantu untuk aturkan,” tulisnya melalui ruangan komen itu.

Menurut Fatin Faieznur, dia tahu mengenai tawaran itu selepas membaca satu ciapan tangkap layar komen wanita itu yang dimuat naik seorang pengguna Twitter.

“Tak sangka ada orang sepertinya kerana kita sedia maklum ramai yang merebut peluang mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca (AZ) selepas kerajaan membuka slot temu janji (vaksinasi) semalam.

“Bagaimanapun, dia sudi memberikan slotnya. Terima kasih saya ucapkan tetapi biarlah emak dapat dengan saluran betul walaupun perlu menunggu kerana saya tidak mahu mengambil tempat orang lain yang memerlukan.

“Saya percaya ada rezeki untuk emak mendapatkan suntikan itu. Lagipun, emak bukan dalam kategori golongan berisiko kerana tiada penyakit kronik jadi lebih baik dahulukan pesakit atau warga emas,” katanya ketika dihubungi Harian Metro

Harian Metro berusaha mendapatkan wanita yang menawarkan slot temu janji vaksinasi miliknya terbabit dengan menghantar kiriman mesej di FB, tetapi tidak dibalas.

Semalam, portal Harian Metro menyiarkan kisah Fatin Faieznur yang meluahkan rasa kecewa kerana gagal membuat tempahan slot janji temu suntikan vaksin AZ untuk ibunya

Di sebalik kekecewaan itu, Fatin Faieznur turut meluahkan rasa syukur kerana bapanya, Tubani Mubin, 58 yang menghidap diabetes berjaya mendapatkan slot janji temu suntikan vaksin AZ.

Slot janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin AZ pusingan kedua penuh dalam tempoh kurang dua jam selepas dibuka pada 12.15 tengah hari semalam.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan 955,609 tempahan dibuat oleh rakyat berusia 18 tahun ke atas

Sambutan memberangsangkan itu susulan pengumuman dibuat oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengenai inisiatif kerajaan membuka slot tempahan kepada individu bawah 60 tahun bagi pusingan kedua vaksin AZ.

Khairy membuat pengumuman itu ketika sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, kelmarin.

Tempahan janji temu vaksin AZ itu terbuka kepada mereka yang menetap di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.