‘Saya tidak akan sia-siakan peluang kedua untuk hidup’

[email protected]

Kuala Lumpur: “Saya bersyukur kerana diberi kesembuhan dan tidak akan mensia-siakan peluang kedua untuk hidup bagi menjadi insan lebih baik,” luah bekas pesakit barah limfoma, Mustakim Mustaffa.

Mustakim, 34, dulunya aktif , malah pernah diberi kepercayaan menjadi guru tarian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Maluri, di sini.

Namun, pergerakan pemuda dari Desa Pandan, di sini, terbatas selepas disahkan menghidap barah limfoma pada 25 Jun tahun lalu tetapi kini bebas daripada penyakit berkenaan pada 5 Mei lalu.

Mustakim mengakui sukar menerima pada awalnya hingga pernah berkurung di dalam bilik selama tiga hari selepas disahkan menghidap barah.

Namun, anak kedua daripada empat beradik itu berusaha bangkit dan belajar menerima ujian Allah SWT dengan reda.

“Saya tidak pernah menyangka akan menghidap barah kerana tiada ahli keluarga lain yang mempunyai sejarah penyakit berkenaan.

“Lagipun, tiada simptom menunjukkan saya menghidap barah sehingga satu hari apabila saya berpeluh melampau dan mengalami sesak nafas dengan tiba-tiba.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada ketumbuhan sebesar 17 sentimeter (sm) pada paru-paru kanan sebelum mengesahkan ia disebabkan barah.

“Ketumbuhan itu menghasilkan cairan yang menyebabkan sukar bernafas dan lebih bahaya jika masuk ke jantung dan paru-paru,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mustakim berkata, bapanya, Mustaffa Mohamed, 60, banyak menasihatinya untuk cekal menghadapi ujian itu.

Menurutnya, bapanya juga yang memberi galakan untuk ke hospital bagi menjalani rawatan disyorkan doktor.

Katanya, antara rawatan itu termasuklah biopsi, Ct Thorax, imbasan tomografi berkomputer (Ct Scan) ultrasound, Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), pet scan, ujian swab, pembedahan transplan, kemoterapi dan yang terakhir radioterapi.

Mustakim berkata, antara pengalaman tidak dapat dilupakannya adalah ketikaparas oksigen berada di tahap terendah hingga membuatkannya berasa hampir dengan kematian.

Katanya, satu lagi situasi mencemaskan dihadapinya adalah ketika menjalani rawatan kemoterapi apabila darah di hujung jari kaki dan tangan termasuk urat urat saraf membeku.

“Jadi untuk mengaktifkan semula darah dan menghindari rasa kebas, saya luangkan masa dengan bermain piano serta menulis sebagai latihan.

“Pada peringkat permulaan memang berat untuk lalui ujian itu tetapi saya teruskan juga rawatan atas kehendak diri sendiri selain keluarga dan individu sekeliling terutama abah yang sentiasa ingatkan saya doktor akan buat sehabis baik.

“Sokongan insan terdekat dan kesempatan bergaul dengan pesakit lain ketika di wad membuatkan saya lebih positif,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Mustakim berkata, dia masih mengambil ubat saraf seperti yang disyorkan doktor.

“Setiap tiga bulan sekali, saya akan ke hospital untuk pemeriksaan darah dan buah pinggang.

“Pemeriksaan itu bertujuan melihat keadaan buah pinggang sama ada baik atau mengalami kesan akibat pengambilan ubat yang banyak,” katanya.

Mustakim berharap, mereka yang senasib dengannya tidak berputus asa dan menjadikan penyakit itu alasan untuk terus hidup dan kembali cergas.

“Selagi kita tidak henti berdoa, solat dan zikir, Insya-Allah, ada peluang untuk sembuh.

“Jangan harapkan pertolongan orang lain semata-mata kerana pokok pangkalnya diri kita sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.