Sayu sambut Aidilfitri di kampus

[email protected]

Alor Gajah: “Aidilfitri tahun ini, saya hanya mampu mengunjungi bilik rakan di kampus, memang sedih tetapi apa yang penting kita sama-sama berdoa wabak ini berakhir dan kehidupan kembali normal,” katanya penuntut Ijazah Sarjana Muda Fakulti Komunikasi Massa dan Media UiTM Melaka, Mohd Hafiz Abd Rahman, 22 yang berasal dari Sarawak.

Katanya, situasi semasa di Sarawak dan banyak negeri dan kawasan yang dikenakan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan mendorongnya untuk tidak pulang walaupun Kementerian Pengajian Tinggi memberi kebenaran kepada penuntut pulang menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, perasaannya memang sayu tatkala melihat rakan ke kediaman masing-masing dengan menaiki bas atau diambil keluarga masing-masing.

“Sedih tidak dapat bertemu ibu dan adik beradik yang lain. Tambahan ayah sudah meninggal dunia ketika saya berusia lima tahun. Apapun yang penting saya perlu fokus pembelajaran, hanya panggilan telefon sebagai pengikat silaturahim kami.

“Kalau nak sebut masakan ibu memang menangis di pagi Aidilfitri, namun semuanya saya lupakan dahulu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dia yang bertugas memantau pergerakan perjalanan pulang penuntut di UiTM Melaka di Lendu di sini juga gembira melihat keterujaan rakan yang bakal bertemu keluarga tercinta.

Bagi pelajar perakaunan, Luqman Nur Hakim Raimi Hisham , 22 berkata, dia juga tidak pulang ke rumah keluarga di Senawang dan akan menyambut Aidilfitri bersama rakan di kampus sahaja.

Katanya, tindakan itu diambil untuk menemani rakan lain yang tidak dapat pulang, dan sudah memaklumkan kepada keluarga mengenainya.

“Tetapi, kami akan berusaha mendapatkan lemang dan nasi himpit untuk dinikmati di pagi Aidilfitri. Selain itu, pengurusan UiTM Melaka juga sangat prihatin terhadap mereka yang tidak pulang.

Sementara itu, Aimi Syafiqah Mohd Kamal Ariffin, 20 dari Fakulti Pengajian dan Perniagaan berkata, dia berhasrat untuk pulang namun tidak dibenarkan ibunya kerana mahu dia lebih selamat di kampus dan menumpukan pembelajaran.

“Saya lupakan hasrat berhari raya di rumah di Puncak Alam, Selangor dan beraya di kampus buat pertama kali dalam hidup.

“Ramai rakan lain juga tidak pulang dan kami merancang menyambut raya bersama-sama dalam suasana sederhana,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.